MELAKA: Kesunyian perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka pecah dengan tangisan sanak-saudara dan waris tragedi nahas lima kenderaan yang mengorbankan tujuh mangsa di sini, hari ini.
Ada yang terpaksa dipapah dan sukar mempercayai berita sedih diterima susulan kemalangan lima kenderaan membabitkan lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan bas persiaran serta sebuah kereta di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, malam tadi.
Ahli keluarga kepada lima penumpang MPV jenis Toyota Estima adalah antara yang pertama tiba di Jabatan Perubatan Forensik kira-kira jam 2 pagi.
Seorang waris yang mahu dikenali sebagai Syed, 61, dari Sungai Udang bergegas ke Hospital Melaka (HM) selepas mengetahui anak saudaranya, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan isteri, Fadzlenna Ramli, 32, serta anak bongsu, Muhammad Umar, dua tahun, maut dalam kemalangan itu.
Katanya, dia baru bertemu mereka sekeluarga pada majlis perkahwinan sepupu Khairul Ikhwan di Cyberjaya, Sabtu lalu.
“Tak terkata sedihnya kami. Terbayang lagi keletah anak bongsunya, Muhammad Umar ketika kami berjumpa di majlis kenduri kahwin sepupunya di Cyberjaya,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau mengetahui pasangan itu yang masing-masing bekerja sebagai pembantu perubatan (MA) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Serdang pergi ke Melaka untuk majlis perjumpaan keluarga.
“Saya tidak ikut sebab majlis itu membabitkan keluarga sebelah isteri (Fadzlenna). Ketika kemalangan, mereka dalam perjalanan pulang dari Melaka,” katanya.
Seorang lagi waris yang mahu dikenali Pak Jat bersyukur selepas dimaklumkan anak saudaranya, Mohamad Syafiq Mohd Zuki, 27, yang memandu treler berkenaan, terselamat dalam kejadian itu.
Beliau sudah melawat mangsa yang berasal dari Kampung Kota Bukit Jeneri, Sik, Kedah yang dirawat di Zon Kuning dan patah paha akibat tersepit dalam treler yang remuk.
“Dia (Mohamad Syafiq) kata tak boleh nak buat apa, tiba-tiba bas terbabas dan merempuh treler dipandunya bersama rakan kelindan.
“Dia dalam perjalanan dari Skudai selepas hantar buah-buahan dan bawa balik muatan pakaian,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.