Tumpuan :
Nasional

‘Tak sokong tindakan Bung, bukan masa sesuai tukar kerajaan negeri’ – Shahelmey

KOTA KINABALU: “Ini bukan masanya yang sesuai untuk tidak menstabilkan atau menukar kerajaan,” demikian maklum balas Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakannya tidak menyertai gerakan diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang membawa parti itu keluar daripada kerjasama membentuk kerajaan negeri.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, adalah di antara lima ADUN daripada UMNO yang dikatakan tidak bersetuju dengan tindakan Bung Moktar itu.

Beliau mengakui tidak menyokong gerakan yang dibuat Bung Moktar dan tidak menghadiri mesyuarat UMNO negeri sebelum sidang media di Bangunan UMNO Sabah malam tadi.

“Ya, saya tidak hadir sebab saya tidak menyokong gerakan yang dibuat oleh Datuk Bung dan juga rakan-rakan kerana saya berpendapat bahawa ini bukan masanya yang sesuai untuk kita mentidakstabilkan kerajaan ataupun menukar kerajaan.

“Prestasi kerajaan Barisan Nasional – Gabungan Rakyat Sahah (BN-GRS) adalah agak baik dalam dua tahun kebelakangan ini kerana dua tahun berturut-turut kerajaan negeri mempunyai peningkatan pendapatan daripada bawah RM5 bilion sehinggalah RM6.6 bilion pada tahun lepas,” katanya ditemui media pada program SMART Jawab SPM 2022 untuk pelajar sekolah menengah dari Parlimen Putatan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan, berkata kerajaan BN-GRS juga berjaya menarik pelabur dengan jumlah pelaburan melebihi RM33 bilion.

“Jadi kenapa kita hendak melakukan pertukaran kerajaan tanpa sebab yang konkrit, yang mengakibatkan satu persepsi bahawa politik negeri tidak stabil.

“Ini akan menghindar pelabur atau mengurangkan keyakinan pelabur untuk datang melabur di negeri ini,” katanya.

Atas sebab itu, katanya beliau tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan Bung Moktar.

“Saya sudah membuat siasatan bahawa rakyat juga tidak inginkan perubahan kerajaan dalam masa sekarang. Ini bukan masa untuk bermain politik.

Mengenai tindakan terhadapnya kerana ingkar arahan parti, Shahelmey berkata beliau sudah bersedia menghadapinya selain menyifatkannya sebagai hak parti untuk mengambil tindakan.

Loading...
Terkini