![](https://media.buletintv3.my/2024/01/BULETIN-TV3-warga-emas-.jpg)
BATU PAHAT: Hasrat seorang warga emas menikmati sarapan tidak kesampaian apabila maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Muar-Parit Yaani, dekat Yong Peng pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa Shahri Abu, 69, cedera parah di kepala dan anggota lain meninggal dunia di tempat kejadian.
Kereta jenis Perodua Viva yang dipandu mangsa terbakar.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa mahu membelok ke kanan untuk singgah di sebuah kedai makan berhampiran.
Pada masa sama datang sebuah pacuan empat roda dari arah sama lalu merempuh belakang kereta dipandu mangsa.
“Rempuhan itu menyebabkan kenderaan mangsa memasuki laluan bertentangan. Secara kebetulan, datang sebuah lori namun gagal mengelak lalu merempuh kereta mangsa. Kereta mangsa kemudian turut melanggar Perodua Bezza dari arah sama menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata pemandu pacuan empat roda, lori dan Perodua Bezza tidak mengalami kecederaan.
Katanya, mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta kerjasama saksi kemalangan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Izzam Aziz ditalian 07-4327704.