Tumpuan :
Nasional

Tak sempat ke klinik, warga emas meninggal dunia di pondok bas

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang warga emas tidak sempat mendapatkan rawatan kesihatan berkala, selepas dia ditemui meninggal dunia di sebuah pondok bas di tepi jalan di Kampung Serkam Darat, di sini, pagi tadi.

Warga emas terbabit, Dol Samad Abu, 64, disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena serangan jantung ketika menunggu bas untuk ke Klinik Kesihatan (KK) Serkam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 7.45 pagi sebelum Ketua Balai Polis Merlimau bersama anggota ke lokasi kejadian.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila warga emas itu yang sedang menunggu bas terkena serangan jantung dan penduduk yang kebetulan melalui lokasi ternampak keadaan arwah yang terbaring.

“Semasa kejadian dia memang hendak ke klinik malah pemeriksaan di dalam begnya menjumpai pelbagai jenis ubat serta buku rawatan,” katanya.

Menurut Mohd Fadzli, selain menghidap penyakit jantung, warga emas itu turut mempunyai beberapa penyakit lain termasuk asthma serta gout.

“Semakan buku rawatannya mendapati dia memang kerap mendapatkan rawatan susulan berhubung penyakitnya itu selain dia tinggal bersama adiknya berhampiran hentian bas yang juga lokasi dia ditemui tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai perubatan kemudian mengesahkan dia meninggal dunia dilokasi kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Fadzli berkata, pemeriksaan ke atas tubuh badan arwah tidak menemui sebarang unsur jenayah dan diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Kita mendapati tiada sebarang kesan kena pukul atau menjumpai darah malah ahli keluarga terdekat juga mengesahkan arwah mempunyai sakit jantung,” katanya.

Loading...
Terkini