comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Tak sangka mayat atas jalan rupanya jasad adik

KUALA TERENGGANU: Seorang abang yang melalui kawasan kemalangan tidak menyangka mayat bertutup kain putih di tengah jalan adalah jasad adik kandungnya.

Muhammad Hairie Fitri Mohd Husaini, 20, berkata, ketika itu, dia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk melihat ibu bapanya yang dirawat di hospital berkenaan.

Katanya, bapanya yang menghidap kencing manis baharu menjalani pembedahan potong sebelah kaki manakala ibu pula dimasukkan ke wad kerana menghidap kanser usus.

“Disebabkan jalan ke hospital ditutup sebab ada kemalangan, saya kemudian berpatah balik dan melalui jalan Pantai Batu Buruk dan singgah di rumah rakan sebelum ke hospital.

“Ketika berada di rumah rakan, saya diberitahu adik terbabit kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum kembali semula ke lokasi kejadian.

“Sebelum itu, ketika sedang bekerja di pusat penjagaan kuda di Lembah Bidong, Setiu, saya menerima panggilan daripada rakan meminta segera pulang tanpa diberitahu kenapa dan saya menyangkakan ada kaitan dengan ayah atau ibu.

“Tetapi tidak sangka pula rupanya adik, Araf Farhin yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Abang mangsa, Muhammad Hairie Fikri, 20, tidak menyangka mayat berselimut putih di atas jalan adalah adiknya. – FOTO: NSTP

Muhammad Araf Farhin, 16, pelajar Giatmara, Telemong, Hulu Terengganu maut  selepas motosikal jenis EX5 ditungganginya melanggar belakang sebuah kenderaan Nissan Grand Livina di Jalan Sultan Mahmud, berhampiran Kompleks Rawatan Harian HSNZ, jam 12.50 tengah malam tadi.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa, anak kedua daripada tiga beradik bersama beberapa lagi rakan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Panji Alam, di sini, selepas minum di sebuah kedai di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus.

Rakannya, Muhammad Rusdi Rashid, 16, berkata, sebelum kejadian dia bersama mangsa keluar rumah jam 10 malam untuk minum bersama beberapa lagi rakan.

“Saya yang berada di belakang motosikal arwah turut terjatuh selepas terlanggar motosikal arwah,” katanya yang mengalami kecederaan ringan pada lutut kanan dan tangan.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ.

Loading...
Terkini