comscore
Tumpuan :
Nasional

Tak perlu tergesa-gesa tukar ke lesen B penuh – JPJ

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli meninjau Sesi Ujian Penuh Pelaksanaan Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B di Akademi Memandu Shah Alam (M) Sdn. Bhd, Sungai Merab Luar, Kajang, 1 Oktober lalu.-Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LLM) Kelas B2 dan B1 tidak perlu tergesa-gesa mendaftar bagi Program Khas Peralihan LLM Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B penuh kerana tiada had masa ditetapkan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan, hari berkata sejak program itu dilancarkan, institut memandu yang disenaraikan menerima pendaftaran yang tinggi daripada orang ramai yang berminat.

“Oleh itu, pemegang LMM Kelas B2/B1 yang layak dinasihatkan tidak tergesa-gesa dalam urusan pendaftaran program ini kerana program itu tidak mempunyai tempoh tamat yang tertentu atau tiada had masa.

“Pihak JPJ juga memaklumkan kepada semua institut memandu terbabit untuk menerima setiap permohonan calon,” katanya.

Katanya, senarai institut memandu juga akan dikemaskini dari semasa ke semasa bagi menampung pendaftaran pemegang Kelas B2/B1 yang layak untuk program peralihan itu.

Dalam pada itu, katanya JPJ turut menerima pelbagai aduan berkaitan pendaftaran dan status kelayakan untuk program berkenaan.

“Terdapat kegelinciran sistem bagi semakan status kelayakan, justeru JPJ sudah mengambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan serta merta.

“Pemegang LMM Kelas B2/B1 yang sebelum ini menerima paparan mesej ‘Bukan Warganegara Malaysia adalah Tidak Layak’ dinasihatkan untuk log keluar dan log masuk semula aplikasi MyJPJ.

“Kemudian semak semula status kelayakan di Semakan Kelayakan Program Khas Peralihan Kelas B,” katanya

Tambah kenyataan itu, JPJ menghargai maklum balas orang ramai berkenaan pelaksanaan program terbabit.

“JPJ sentiasa komited untuk menambah baik dari semasa ke semasa bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

JPJ memaklumkan sehingga 3 Oktober lalu, seramai 3,328,603 daripada 9,319,844 pemegang LMM Kelas B2/B1 layak menyertai Program Khas Peralihan LLM Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B.

Pemegang LMM Kelas B2/B1 yang layak boleh mula mendaftar untuk program itu di 139 institut memandu di seluruh negara.

Senarai institut memandu yang menawarkan Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B boleh didapati dengan mengimbas kod QR yang dikongsikan menerusi platform media sosial rasmi JPJ.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini