comscore
Tumpuan :
Nasional

Tak nampak anak bulan Syawal: Jangan buat keputusan sendiri – Nooh Gadut

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadut

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir rakyat di negara ini yang masih berpuasa pada 1 Syawal Rabu lalu, kerana mendakwa anak bulan tidak kelihatan dengan mata kasar seperti tular di media sosial, tidak sepatutnya berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadut, ini kerana rakyat Malaysia berada pada satu matlak iaitu satu kawasan yang terbit matahari dan bulan dan seharusnya mereka perlu mengikut apa yang sudah ditetapkan kerajaan.

Katanya, pembuat keputusan untuk rakyat di negara ini menyambut Aidilfitri pada Rabu lalu bukanlah dibuat oleh orang sembarangan namun ia adalah pakar diiktiraf.

“Yang melihat (anak bulan) itu adalah pakar. JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam) sudah mempunyai pakar daripada bahagian falak, (individu) itu bukannya hanya (pakar) dari peringkat negeri atau pun negara tetapi dia adalah pakar di peringkat Asia Tenggara. Sangat hebat.

“Jadi pandangan saya tidak sewajarnya berlaku (berpuasa) kerana mendakwa tidak nampak anak bulan. Kita disuruh untuk taatkan Allah dan Rasulullah SAW serta pemimpin dan pemerintah ketika ini.

“Macam mana boleh berlaku perkara demikian, ketika ilmu agama tersebar luas di universiti, sekolah, akhbar dan televisyen. Bagaimana boleh berlaku dan saya rasakan ada perkara yang tidak kena.

“Jadi sewajarnya pihak berwajib memberikan pandangan, pencerahan dan penjelasan yang secukupnya supaya benda ini tidak berlaku pada masa akan datang. Negara ini kecil sahaja, bukannya besar. Jadi perkara ini perlu dirujuk kepada JAKIM dan mereka perlu terangkan di negeri mana ada nampak (anak bulan),” katanya ketika dihubungi media.

Sebelum ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri pada Rabu lalu.

Keputusan menetapkan Aidilfitri itu adalah berdasarkan kedudukan bulan yang memenuhi kriteria Imkanur-rukyah dan menurut hitungan falak, ijtimak (bulan baharu) Syawal.

Bagaimanapun, tular di laman sosial hantaran dimuat naik seorang individu yang mahu menggenapkan puasa 30 hari kerana anak bulan tidak dilihat dengan mata kasar.

Keputusan itu dibuat susulan penampakan bulan baharu itu tidak jelas ekoran cuaca buruk dan awan tebal.

Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi hingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

Dalam pada itu, Nooh turut mengingatkan rakyat di negara ini bahawa Malaysia mempunyai tempat rujukan sekiranya mereka merasa ragu-ragu dengan keputusan dibuat.

“Di peringkat kebangsaan kita ada JAKIM yang bertanggungjawab manakala di negeri pula kita mempunyai Majlis Agama. Kalau JAKIM sudah membuat keputusan manakala fatwa negeri sudah mendapat perkenan oleh Duli dan Raja-Raja Melayu, bagaimana pula kita buat keputusan secara bersendirian (untuk meneruskan berpuasa).

“Mudah-mudahan perkara ini tidak akan berlaku lagi dan insaflah serta seharusnya bermuhasabah diri siapa yang sepatutnya kita rujuk mengenai perkara ini. Bukannya rujuk kepada diri kita sendiri yang mungkin kurang ilmu agama, atau kepada orang tertentu yang bukannya pakar dalam ilmu berkenaan.

“Muhasabah diri dan sudah tentunya akan selamat dunia dan akhirat,” katanya.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata penggunaan alat teknologi dalam mencerap anak bulan yg digunapakai di negara ini adalah keputusan fatwa negeri-negeri serta sudah digunakan sejak sekian lama.

Katanya, walaupun ada pihak mendakwa mereka tidak nampak alat bulan dengan mata kasar, penggunaan alat berkenaan mampu membantu memudahkan pencerapan serta ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.

“Masyarakat perlu sentiasa merujuk dan menerima pakai keputusan pihak berkuasa agama dalam hal begini serta tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang sengaja ingin menimbulkan ketidak harmonian dalam masyarakat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini