comscore
Tumpuan :
Nasional

Tajaan konsert amal, bukannya untuk sumbangan kepada sekolah – Ahmad Zahid

KOTA TINGGI: Isu tajaan syarikat arak kepada sebuah sekolah Cina di Sepang, Selangor baru-baru ini, adalah untuk penganjuran konsert amal dan bukannya sumbangan kepada sekolah berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, wujud persepsi silap yang mendakwa syarikat arak dan rokok menyalurkan dana kepada sekolah Cina.

Katanya, konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Lembaga Pengelola Sekolah.

“Apa yang telah kita bincangkan pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu, bukan soal sumbangan daripada syarikat minuman keras itu atau pun syarikat rokok atau syarikat sejenama dengannya.

“Apa yang dilakukan adalah penajaan terhadap ‘event’ (konsert amal) yang dibuat oleh syarikat itu.

“Ia dianjurkan oleh persatuan ibu bapa (PIBG) dan Lembaga Pengelola Sekolah itu. Dalam perkara ini, ia tidak pun menyebut tentang sumbangan daripada syarikat minuman keras kepada mana-mana sekolah sebagaimana persepsi yang wujud.

“Ia tidak menyebut sumbangan syarikat minuman keras kepada sekolah-sekolah (sekolah Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan rumusan di Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Pusat Konvensyen Desaru, di sini, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan isu berhubung sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina akan dijawab oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata, isu berhubung perkara terbabit ada dibincangkan dalam Kabinet, namun pihaknya menyerahkan kepada menteri berkenaan untuk menjelaskan mengenai perkara berkenaan.

Rabu lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dilaporkan akan memberikan penjelasan kepada Kabinet berhubung isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Sepang menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras.

Ahad lalu, kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah itu yang didirikan sejak 30 tahun lalu, didapati turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya sebelum ini, memaklumkan memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut.

KPM turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Surat pekeliling KPM pada 29 Mac 2018 menyatakan sumbangan kepada sekolah-sekolah tidak boleh melibatkan syarikat arak, rokok, judi dan seumpamanya kerana boleh jejaskan potensi murid dari segi rohani, emosi dan jasmani.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini