GEORGE TOWN: Tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi akan diteruskan.Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim keputusan itu berdasarkan situasi semasa yang mana masih terdapat keperluan bagi sektor-sektor berkenaan di dalam negara.
“Sejak minggu lalu saya ada perjumpaan khas dengan JPA dan mereka kata itu (menghentikan tajaan) adalah dasar sedia ada, dasar yang lalu.
Jadi, saya minta dikaji semula berdasarkan unjuran kita yang mana keperluan sektor perubatan, pergigian dan farmasi itu masih ada. Maknanya, program biasiswa JPA untuk sektor-sektor ini akan diteruskan,” katanya dalam program Temu Anwar@USM di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan salah seorang peserta program itu yang juga mahasiswa USM berhubung keputusan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang berkenaan.
Menurut media, langkah itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali dalam jawapan bertulis di parlimen semalam.
Ia berikutan kajian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.
Menurut Datuk Armizam lagi, KKM juga mendapati terdapat kesukaran untuk menyerap keseluruhan pelajar perubatan tajaan kerajaan ke dalam perkhidmatan awam.
Bagaimanapun awal hari ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata KKM sedang mengadakan perbincangan semula bersama JPA berhubung langkah menghentikan tajaan itu dan akan mengkaji semula keputusan yang dibuat berlandaskan kajian pada tahun 2019 terbabit memandangkan terdapat beberapa perubahan baharu khususnya pasca-COVID-19.