Tumpuan :
Nasional

Tahun Baru Cina: Polis Marin perketat kawalan keselamatan perairan negara

Komander Polis Marin, Senior Asisten Komisioner Shamsol Kassim.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Marin meningkatkan dan memperketatkan kawalan keselamatan di perairan negara, khususnya di kawasan pintu masuk haram di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia.

Penguatkuasaan itu dibuat berikutan insiden yang melibatkan serangan terhadap pegawai penguatkuasa di perairan Tanjung Rhu, Banting, baru-baru ini.

Komander Polis Marin, Senior Asisten Komisioner Shamsol Kassim, berkata arahan telah dikeluarkan kepada semua Komander Wilayah untuk memperketat penguatkuasaan undang-undang di kawasan masing-masing.

Tambahnya, langkah itu juga merupakan sebahagian daripada kesiapsiagaan pasukan menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah.

“Kita sudah keluarkan (arahan) sempena musim perayaan ini Tahun Baru Cina untuk kita ketatkan rondaan dan kawalan keselamat perairan.

“Jadi ekoran daripada insiden yang berlaku itu, sebelum ini pun kita dah keluarkan sebenarnya, jadi kebetulan insiden itu berlaku.

“Untuk meningkatkan operasi dan kawalan keselamatan, kita dah keluarkan arahan kepada regional commander wilayah untuk kita menguatkuasakan undang-undang dengan lebih berwaspada,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Jelas Shamsol, walaupun kewujudan pintu masuk haram di kawasan pantai barat merupakan satu cabaran, pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk memastikan undang-undang ditegakkan.

Beliau turut menekankan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan sedia ada dalam setiap operasi.

“Kesiapsiagaan anggota dan pegawai kami sentiasa berada pada tahap tertinggi.

“Kami sentiasa mementingkan integriti, efisiensi, dan keberkesanan dalam menegakkan undang-undang di perairan,” tambahnya.

Insiden yang berlaku di perairan berhampiran Pantai Morib, Selangor, Jumaat lalu, menyaksikan seorang warga Indonesia maut, manakala empat yang lain cedera selepas dilaporkan menyerang pegawai penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Kumpulan suspek dipercayai merempuh bot APMM sebanyak empat kali sebelum dua daripadanya cuba menyerang pegawai dengan parang.

Pihak berkuasa kini sedang memburu anggota kumpulan tersebut yang masih bebas.

Langkah keselamatan tambahan ini dijangka dapat menghalang aktiviti jenayah dan melindungi keselamatan perairan negara, terutama semasa tempoh yang sering menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini