Oleh: Afrina Romzi
SUBANG JAYA: Tradisi makan besar menjadi lambang penyatuan keluarga bagi masyarakat Tionghua.
Disebalik kepesatan teknologi yang mengubah gaya hidup, warisan berharga ini mampu menyemarakkan rasa kasih sayang dan keharmonian keluarga.
Bagi Prof Datuk Dr Elizabeth Lee, acara makan besar ini amat bermakna bagi keluarganya.
“Tiap-tiap tahun kita mesti ada semua keluarga bersama. Apabila kanak-kanak kecil semua ada di sini tetapi bila mereka sudah pergi ke luar negara, kerja dan belajar, mereka tidak ada di sini. Tetapi yang ada di sini semua mesti balik, makan besar,” katanya kepada BuletinTV3.
Sementara itu anak angkat Prof Datuk Dr Elizabeth, Um Hye Rin mengakui acara makan besar bersama keluarga sentiasa menjadi saat menggembirakan buat dirinya.
“Saya warga Korea dan tinggal di Malaysia. Saya tidak mempunyai keluarga terdekat di sini, jadi saya akan meluangkan masa bersama ibu bapa angkat dan juga keluarga teman lelaki saya,” katanya.
Acara makan malam dimulakan dengan Yee Sang yang bermaksud kemakmuran dan panjang umur.
Ia kemudian diteruskan dengan pelbagai hidangan.
Paling penting perlu ada ayam sebagai simbol keharmonian, udang yang membawa maksud kegembiraan, ikan yang melambangkan keutuhan serta abalone bermaksud kekayaan.
Saban tahun, tradisi makan besar ini menjadi lebih mencabar ekoran perubahan gaya hidup.
Ada keluarga yang memilih untuk bercuti di luar negara daripada menyambut perayaan bersama saudara-mara.
“Ibu bapa harus memberi penekanan kepada anak-anak mereka bahawa ini adalah tradisi yang diturunkan dari generasi ke generasi dan apabila kami sudah tiada, ia bergantung kepada mereka untuk meneruskannya. Kita tidak boleh berkata (sekarang) dunia moden, sebelum Tahun Baharu Cina sekarang pada bulan Januari, mari bermain ski di Hokkaido,” kata abang Ipar, Raymond Corray.
Tidak dinafikan teknologi membantu kita berhubung menerusi panggilan video.
Namun, ia tidak boleh menggantikan momen bersama ahli keluarga di hari kebesaran ini.
Justeru, tradisi makan besar ini perlu diteruskan sebagai penghormatan kepada generasi terdahulu dan penyatuan keluarga.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.