Oleh: Safwan Sawi
PAPAR: Perbezaan agama dan bangsa dalam sebuah keluarga bukanlah penghalang untuk terus meraikan tradisi bersama, terutama dalam menyambut Tahun Baharu Cina.
Chua Siew Teh, 67, seorang ibu beragama Buddha, ditemani lima orang anaknya yang menganut agama berbeza, menunaikan sembahyang pada pagi perayaan itu.
Kasih ibu tidak pernah terputus walaupun suaminya bersama empat anaknya beragama Kristian, manakala seorang lagi anaknya merupakan seorang mualaf. Setiap kali tiba Tahun Baharu Cina, mereka tetap menemani Siew Teh dalam upacara sembahyang pagi yang menjadi rutin keluarganya.
Biarpun hujan renyai sekitar jam 10 pagi, ia tidak menghalang Siew Teh bersama keluarganya serta masyarakat Tionghoa lain untuk menunaikan sembahyang di Tokong Tien Nam Shi, Papar.
“Setiap kali tradisi makan besar menjelang Tahun Baharu Cina, saya akan menyediakan juadah istimewa untuk anak-anak yang pulang ke kampung ini,” katanya kepada Buletin TV3, menyifatkan ia sebagai momen paling bermakna setiap tahun.
Selepas makan besar pada malam perayaan, keesokan harinya anak-anak dan menantu pula bergilir-gilir menyediakan juadah istimewa untuk keluarga.
Siew Teh, yang juga seorang usahawan agrikultur, turut ditemani dua menantunya, Mohd Fariz Azwan Abdul Wahab, 34, seorang Muslim, serta Jane Julian, 35, seorang penganut Kristian berbangsa Dusun. Kedua-duanya setia menunggu di luar tokong sementara ibu mertua mereka bersembahyang.
“Saya rasa tiada masalah untuk menyambutnya bersama kerana kita masing-masing ada kepercayaan dan iman sendiri. Ia lebih kepada perkongsian budaya, memandangkan isteri saya berbangsa Cina,” kata Fariz ketika ditemui di luar tokong.
Ahli keluarga yang menetap di daerah Tambunan dan Kota Kinabalu akan pulang ke Papar untuk berkumpul serta meraikan Tahun Baharu Cina bersama ibu tercinta.
“Bagi saya, inilah keunikan Sabah. Tanpa mengira kaum dan agama, kita meraikan semua perayaan—sama ada Tahun Baharu Cina, Krismas atau Hari Raya dengan penuh semangat toleransi dan kasih sayang,” kata Gabrielina Chai, 25, salah seorang anak Siew Teh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.