KUALA TERENGGANU: Tradisi ‘makan besar’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina sangat bermakna buat seorang pengusaha bengkel kereta apabila ia diraikan bersama rakan pelbagai agama termasuk mereka yang sudah lama terpisah.
Liaw Yong Sien, 27, berkata kehadiran rakan menambahkan lagi kemeriahan tradisi ‘makan besar’ yang sebelum ini hanya diraikan dalam kalangan keluarga dan saudara mara sahaja.
Katanya, dia yang dibesarkan dalam kalangan masyarakat melayu di Kampung Banggol Donas, Manir, di sini, memiliki ramai kenalan rapat terutama yang beragama Islam selain Hindu sejak di alam persekolahan lagi.
“Tetapi apabila sudah besar dan masing-masing bekerja selain ada yang merantau menyebabkan kami putus hubungan.
“Namun, melalui media sosial, saya dapat berhubung semula dengan rakan-rakan lama tetapi tidak pernah berkesempatan untuk berjumpa dan sempena perayaan Tahun Ular esok, saya mengambil kesempatan untuk meraikan ‘makan besar’ bersama kawan-kawan.
“Walaupun ada di kalangan rakan-rakan yang tidak dapat hadir, namun perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini sangat bermakna bagi saya kerana dapat menyatukan semula hubungan dengan rakan yang ada antaranya sudah lama terpisah,” katanya ketika ditemui selepas meraikan ‘makan besar’ bersama rakan India dan Melayu di sebuah restoran di bandaraya ini, petang tadi.
Berkongsi pengalaman sambutan Tahun Baharu Cina dalam masyarakat Melayu, dia berkata, tidak janggal berikutan hubungan akrab penduduk yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa membezakan fahaman agama menyebabkan setiap perayaan disambut dengan meriah.
“Kami saling kunjung mengunjung antara satu sama lain. Sama juga meraikan Hari Raya Aidilfitri, saya akan berkunjung ke rumah jiran dan kenalan, malah kerana menghormati agama lain, saya berpuasa pada bulan Ramadan dan berbuka bersama rakan beragama Islam,” katanya.
Rakan berbangsa India, Naserwina Najm, 35, berkata, perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini membolehkan masyarakat berlainan agama dan bangsa hidup dalam suasana harmoni dan hormat-menghormati sesama mereka dengan mengekalkan identiti masing-masing.
“Makan besar mewujudkan suasana harmoni walaupun kami berbeza agama dan ketika menggaul Yee Sang, saya dapat rasakan keharmonian dan perpaduan erat antara kami,” katanya.
Manakala bagi Suhaila Shamsuddin, 49, meraikan tradisi makan besar yang sangat bermakna dan penting bagi masyarakat Tiong Hua adalah pengalaman indah buat dirinya.
“Ini lah uniknya Malaysia. Walaupun kami berlainan agama tetapi tali silaturrahim tidak pernah putus dan berharap hubungan akrab ini akan kekal selama-lamanya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.