Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan (Road-Ban) di jalan raya yang membabitkan tiga kategori kenderaan akan dilaksanakan selama empat hari bersempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, tahun ini.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan berkata, larangan itu akan dikuatkuasakan pada 20 dan 21 Januari (sebelum perayaan) serta pada 24 dan 25 Januari (selepas perayaan) dengan mengambil kira peningkatan trafik yang ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman.
“Tujuan utama Road-Ban ini adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian.
“MOT melalui agensinya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Kempen Keselamatan Jalan Raya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mematuhi peraturan-peraturan jalan raya seterusnya mengurangkan risiko berlakunya nahas jalan raya,” kata kenyataan itu.
Berdasarkan poster Road-Ban yang memperincikan larangan itu, bagi kenderaan kategori satu, waktu larangan pemanduan adalah sepanjang masa dalam tempoh berkenaan yang membabitkan car carrier, tipper, dumper, tipping yang berat dengan muatannya melebihi 7,500 kilogram (kg) low loader, pole trailer, bulk cement tanker, platform trailer, lori balak, jentera berat beroda serta traktor.
Ia turut merangkumi lori pengangkut simen, besi keluli, batu, pasir, tanah, bahan binaan yang lain, amang, bijih timah, arang batu serta bahan galian yang lain.
“Waktu larangan bagi kenderaan kategori dua adalah dari 12 tengah malam hingga 8 pagi iaitu lori kontena yang mengangkut barangan selain lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri yang sama dan sebaliknya; serta lori mengangkut barangan elektronik dan elektrik mahupun bahan industri dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri dan sebaliknya.
“Kenderaan kategori dua juga meliputi lori mengangkut barangan pengeluaran hasil sawit dan getah dari ladang ke kawasan industri, serta lori kargo tanpa muatan,” katanya.
Bagi kategori tiga, waktu larangan bagi kenderaan seperti kren bergerak dan lori pembancuh simen adalah dari jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 kilometer (km) dari tapak pembinaan tertakluk masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.
Selain itu, jentera berat beroda dan kren bergerak diberi pengecualian untuk melaksanakan kerja-kerja kecemasan.
Mengulas lanjut, MOT berkata, mana-mana kenderaan barangan atau dengan jenis barangan yang tidak tertakluk kepada tiga kategori terbabit adalah dibenarkan menggunakan kenderaan dalam tempoh larangan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat Kaedah atau Perintah serta butiran terperinci mengenai larangan berkenaan di laman web www.lom.agc.gov.my.
Pada masa sama, MOT memaklumkan, perintah penurunan had laju kebangsaan juga akan dikuatkuasakan bersama-sama Road-Ban tersebut.
Had laju di jalan persekutuan dan negeri dikurangkan 10km per jam (km/j) menjadikan had laju jalan persekutuan daripada 90km/j kepada 80km/j, manakala jalan negeri daripada 80km/j kepada 70km/j.
“MOT ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyambutnya dan menasihatkan semua agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan semasa memandu,” demikian menurut kenyataan.