Tumpuan :
Nasional

Tahun Baharu Cina: KKM pantau import limau mandarin

Foto hiasan. – Dijana oleh AI

KUALA LUMPUR: Analisis dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap 243 sampel limau mandarin sempena musim perayaan, mendapati sembilan sampel atau 3.7 peratus daripadanya tidak mematuhi kadar maksimum residu racun perosak bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM 1985) Akta Makanan 1983.

KKM dalam satu kenyataan, semalam, memaklumkan semua sampel yang melanggar PPM 1985 itu sudah dilupuskan.

“Setiap pengimport terbabit dalam pelanggaran itu akan dikenakan pemeriksaan tahap lima (Tahan, Uji dan Lepas) pada kemasukan seterusnya di mana konsainan makanan akan ditahan bagi tujuan pensampelan dan kelulusan pelepasan hanya diberikan sekiranya keputusan analisis mematuhi standard ditetapkan.

“Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) KKM mengingatkan semua pengimport makanan bertanggungjawab memastikan makanan yang diimport mematuhi PPM 1985.

“KKM sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin, demi melindungi pengguna dan memastikan produk yang berada dalam pasaran adalah selamat untuk dimakan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KKM komited memastikan keselamatan makanan adalah terjamin, terutama semasa musim perayaan utama negara seperti Tahun Baharu Cina.

“Dalam hal ini, KKM melalui PKKM sudah melaksanakan pemantauan khas bagi limau mandarin yang diimport sempena musim perayaan, di semua 70 pintu masuk negara bermula November lalu.

“Ia bagi memastikan semua limau mandarin yang memasuki negara ini mematuhi standard ditetapkan bawah PPM 1985,” katanya.

Selain itu, katanya, KKM turut menjalankan operasi khas, Ops Tahun Baru Cina di seluruh negara, mulai 19 Januari lalu hingga 1 Februari depan bagi memastikan makanan dijual dalam pasaran adalah selamat dan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983.

“Berdasarkan data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM), China, Afrika Selatan, Jepun, Australia dan Mesir adalah pengeksport utama limau mandarin ke Malaysia sepanjang tahun lalu,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pengguna yang mempunyai kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini