PASIR PUTEH: Polis Kelantan menjangkakan kemasukan kenderaan ke negeri itu meningkat 10 hingga 15 peratus sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pertambahan itu direkodkan bermula sejak semalam di tiga pintu masuk utama iaitu Jeli, Gua Musang dan Bukit Yong (Pasir Puteh).
Pihaknya juga sedang merancang satu mekanisma untuk membuat rekod kemasukan kenderaan ke negeri ini setiap kali musim perayaan atau cuti umum.
“Sebelum ini kita hanya buat anggaran, Kelantan tiada tol untuk rekod tepat kemasukan kenderaan.
“Jadi kita rancang dengan beberapa pihak seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), balai polis setiap daerah untuk rekod kemasukan kenderaan ini, buat perkiraan ke macam mana, akan datang kita dapat buat anggaran sebenar jumlah kenderaan masuk ke Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Pemantauan Op Selamat 19/2023 sempena Perayaan Tahun Baru Cina di Balai Polis Bukit Yong, di sini, hari ini.
Zaki berkata, sempena perayaan itu juga, polis melaksanakan Op Selamat selama 10 hari bermula 18 hingga 27 Januari ini, membabitkan seramai 22 pegawai dan 94 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta 218 pegawai, anggota Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
Katanya, mereka akan ditempatkan di kawasan khas dan turut membuat pemeriksaan berkaitan lesen memandu selain memberi perhatian kepada kes warga asing yang membawa kenderaan tanpa lesen.
Beliau berkata, sebanyak 61 kawasan ‘blackspot’ berlaku kemalangan dan 50 kawasan sesak turut diberi tumpuan utama membabitkan daerah Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Gua Musang, Jeli, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Tumpat.
Antara kawasan itu adalah di Melawi – Pulau Kambing, Jalan Pauh Sembilan ke pintu gerbang, Beris Kubor Besar ke Padang Melintang, Pekan Gunung ke Pauh Lima (Bachok), Jalan Kuala Krai, Jalan Salor Baru – Pasir Mas, Jalan Binjai (Kota Bharu), Simpang Wakaf Lincong, Jeram Linang, Bukit Jawa, Sempadan Masjid Semerak (Pasir Puteh), Gua Musang – Kuala Krai dan Jalan Gua Musang – Kuala Lipis.
Untuk rekod, Op Selamat Tahun Baharu Cina pada tahun lepas mencatatkan 363 kes kemalangan iaitu menurun sebanyak 152 kes atau 30 peratus berbanding tahun sebelumnya. – BERITA HARIAN