Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Dulunya beliau disanjung kini hidup sebatang kara. Lukisan termahal yang dijual mencecah RM15,000 pernah mengharumkan nama negara menerusi pelbagai pameran karyanya di luar negara.
Itulah nasib menimpa bekas pelukis tempatan, Benedict Chong Vun Khiong, 79.
Lukisan Gunung Kinabalu dari pelbagai sudut serta gambaran kehidupan desa yang mundur dan kesempitan di pedalaman antara karya popular beliau pada era 70 dan 80-an.
“Saya sudah melukis lebih 40 tahun, antara lukisan yang pernah saya hasilkan melukis menggunakan kaki sambil menutup mata, tapi sekarang tiada orang mahu beli sudah,” katanya ketika ditemui Buletin TV3, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Bukan sahaja dalam negara, malah bakat dan karyanya turut diiktiraf di pentas antarabangsa termasuk menerima undangan serta pameran di negara seperti Amerika Syarikat, Hong Kong, Kanada dan Australia.
Hasil sentuhannya telah berjaya memberi kesedaran masyarakat mengenai perjuangan dan kesempitan hidup pada era itu memandangkan masih ramai yang belum terdedah dengan kehidupan di luar bandar.
Namun itu kisah dulu, kini di teratak usang tengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu, Benedict hidup sebatang kara.
Titik kehidupan apabila beliau pernah mengalami patah kaki akibat kemalangan kira-kira 12 tahun lalu.
“Kemalangan hanya melibatkan sudut jalan tapi ada kenderaan secara tiba-tiba pusing dan melanggar saya kira-kira jam 7 malam. Saya terpaksa bertongkat lebih sebulan dan kehidupan saya terjejas selama tiga bulan ketika itu,” ujarnya.
Sambutan Tahun Baharu Cina tidak lagi semeriah dahulu selepas kematian seorang anak dan isteri tercinta kira-kira lima tahun lalu dan beliau pasrah serta tabah tinggal seorang diri tanpa mendamba belas kasihan orang lain.
Nasib Benedict mendapat perhatian Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew.
Selain bantuan meringankan beban, rumah baharu percuma bakal menggantikan rumah usang beliau menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Saya melawat ke tempat-tempat seperti ini saya mahu rekodkan di mana lagi yang kita boleh buat kemas kini bukan sahaja pada musim perayaan tetapi selepas perayaan pun kita akan kemas kini maklumat berkaitan golongon seumpama ini.
“Rumah usang saudara Benedict ini kita akan gantikan rumah baharu nanti menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Selain mengenalpasti anak seni tempatan terkesan, kementeriannya turut memastikan sektor terlibat menerima pelbagai manfaat positif.
Untuk rekod, sejumlah 362,700 orang telah mendapat peluang pekerjaan di sektor pelancongan Sabah pada 2023, iaitu peningkatan sebanyak 7.1 peratus sekali gus menyumbang kepada 22.4 peratus peluang pekerjaan di negeri itu.
Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api turut menyantuni golongan peniaga terkesan sempena perayaan sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini termasuk pengidap kanser, penyakit kronik serta balu yang memerlukan.
“Susah untuk berniaga sekarang, saya tidak selalu buka kedai sebab tiada orang mahu beli untuk datang ke sini. Kelmarin saya buka kedai pun berdepan situasi sama termasuk dua hari lalu,” kata salah seorang peniaga, Yong Shot Moi, 73, ketika ditemui di Pasar Besar, di sini, hari ini.
Setakat ini, tujuh buah kediaman di sekitar kawasan Api-Api telah melalui program baik pulih rumah usang antaranya di sekitar Bukit Nenas dan Sembulan.
Program sentuhan kasih bakul makanan Tahun Baharu Cina pusat khidmat rakyat kawasan Api-Api turut menyantuni golongan terkesan seperti mangsa bencana banjir dan kebakaran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.