comscore
Tumpuan :
Artikel

Tahap komunikasi bahasa Inggeris pelajar antarabangsa lemah, cabaran pensyarah di IPT

Foto hiasan

Peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa di institusi pendidikan swasta (IPTS) telah menimbulkan satu persoalan dalam kalangan kebanyakan ahli-ahli akademik di Malaysia – Adakah tenaga pengajar mampu mengendalikan pelajar yang mempunyai kurang pemahaman dalam bahasa Inggeris, lantas melahirkan graduan yang berkualiti?

Berkomunikasi dan memahami bahasa Inggeris amat penting kerana ia bahasa global yang digunakan dengan meluas dan perlu dikuasai, khususnya golongan pelajar yang akan meneroka bidang ilmu dalam pendidikan.

Bagaimanapun persepsi bahawa menguasai bahasa ibunda lebih baik, bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat kita, tetapi juga di negara lain.

Oleh kerana persepsi ‘lapuk’ ini dibawa oleh majoriti sebilangan komuniti Asia, ia telah mengakibatkan sesetengah pelajar antarabangsa mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dan cuba berkomunikasi dalam bahasa ibunda dalam segala situasi.

Situasi ini nyata memberi cabaran khususnya pensyarah di IPTS yang dipertanggungjawab mendidik hampir 80% pelajar antarabangsa di dalam kelas.

Pelajar antarabangsa dilihat terlalu bergantung dengan aplikasi terjemahan, malah adakalanya sehingga memerlukan rakan senegara yang boleh berbahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan pensyarah.

Ia juga memberi cabaran buat pelajar tempatan dalam menyudahkan kerja kumpulan kerana kekangan bahasa menjadi isu untuk berinteraksi dan menjadi antara aduan paling tinggi diterima pensyarah.

Justeru, perlu ada satu mekanisme terbaik ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi, contohnya sistem bersyarat untuk semua institusi pendidikan, dimana pengambilan kursus bahasa Inggeris antara satu hingga dua tahun diwajibkan oleh semua pelajar antarabangsa yang mempunyai tahap pemahaman agak kritikal.

Ia supaya kefahaman bahasa dan kursus yang diambil oleh pelajar antarabangsa itu selari ‘momentumnya’ dalam proses pembelajaran.

Ia juga dilihat penting dan selari dengan impian Malaysia yang mahu menjadi hab pendidikan pilihan global, lantas melahirkan graduan yang berkualiti.

Artikel ini ditulis oleh Dr. Nur Haniz Mohd Nor, Pengarah Program (Ijazah Kedoktoran, PhD), Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Leisure, Taylor’s University

Dr. Nur Haniz Mohd Nor

 

Loading...
Terkini