Tumpuan :
Nasional

Tahap kawalan keselamatan di KLIA akan dikaji semula – Polis

Foto hiasan

SEPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji semula tahap kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 berhubung insiden tembakan menyebabkan seorang pengawal peribadi cedera dalam kejadian di balai ketibaan lapangan terbang itu, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata sebab utama beliau bergegas ke lokasi sejurus insiden tembakan itu adalah untuk bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Secara jujurnya, kehadiran saya pagi tadi mengambil kira perkara terbabit (kaji keselamatan).

“Sepertimana semua pihak sedia maklum, kejadian seperti ini bukan kali pertama berlaku di KLIA 1, namun begitu untuk kawalan keselamatan lebih khusus dan terperinci sememangnya akan dikaji lanjut selepas ini.

“Ia adalah premis yang dikendalikan oleh pihak swasta dan menjadi sasaran utama dalam insiden tembakan pagi tadi. Jadi, kita (polis) akan duduk bersama dan semak semula secara lebih komprehensif tahap persediaan keselamatan di lapangan terbang ini selepas ini,” katanya pada sidang media di Balai Ketibaan KLIA 1 hari ini.

Mohd Shuhaily juga memberi jaminan tahap keselamatan di KLIA 1 berada dalam keadaan terkawal dan selamat.

Katanya, buat masa ini penumpang yang berurusan di KLIA 1 tidak perlu bimbang mengenai keselamatan masing-masing.

“Insiden itu adalah jelas bukan jenayah yang dilakukan secara rambang, sebaliknya suspek hanya menyasarkan seorang mangsa.

“Ia hanyalah ‘spesific target’ (sasaran spesifik) membabitkan ‘personal agenda dan vendetta’ (agenda peribadi dan dendam).

“Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai keselamatan mereka di lapangan terbang buat masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira 30 individu berada di kawasan sekitar lokasi insiden tembakan berlaku pagi tadi dan polis kini sedang mengenal pasti individu berkenaan untuk dirakam keterangan bagi membantu siastatan, termasuk beberapa anggota polis bantuan KLIA 1 yang memberi bantuan awal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 kerana memiliki senjata api,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi tadi, seorang suspek lelaki melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya, namun satu das terkena pada pengawal peribadi wanita berkenaan.

Ketika kejadian, wanita berusia 38 tahun itu bersama dua pengawal peribadi sedang menunggu jemaah umrah di bawah kendalian agensi umrah miliknya yang mendarat di KLIA 1.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini