KUCHING: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam selepas tangannya tersepit di dalam mesin pembuatan mi di sebuah premis di Central Park Commercial Centre, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa dipanggil bagi membantu mengeluarkan tangan mangsa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.04 malam.
Beliau berkata, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Ketika jentera sampai di lokasi kejadian pada jam 7.21 malam, didapati tangan kiri seorang lelaki tersepit pada mesin pembuat mi.
“Komander operasi mengarahkan anggota supaya mengangkat mesin pembuat mi itu ke luar kedai bagi memudahkan kerja-kerja melepaskan tangan mangsa.
“Operasi melepaskan tangan mangsa dilakukan dengan menggunakan alat khas iaitu parateq,” katanya.
Beliau berkata, selepas berusaha dengan cermat kira-kira 10 minit, tangan mangsa berjaya dikeluarkan.
“Anggota EMRS memberi rawatan awal apabila tangan mangsa luka dan selepas itu menghantarnya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.