comscore
Tumpuan :
Nasional

Tahan sakit 6 jam, kaki tersepit celah bongkah batu

Anggota bomba menyelamatkan lelaki yang tersepit di celah batu di sungai Kampung Kuala Balah. FOTO: Ihsan Bomba

JELI: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir enam jam apabila kaki kirinya tersepit di celah bongkah batu sungai di Kampung Kuala Balah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa berusia 31 tahun bersama sepupunya ke kawasan sungai itu untuk mencari ikan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 2.11 petang.

“Perjalanan menuju ke lokasi agak jauh serta terletak di kawasan pedalaman dan sebaik tiba, kami mendapati mangsa sedang menahan kesakitan akibat kaki yang tersepit.

“Difahamkan mangsa bersama sepupunya ke kawasan itu untuk mencari ikan dan ketika berjalan menuju ke lokasi, dia memijak batu yang menyokong bongkah batu besar sebelum ia bergerak dan menghimpit lutut mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Adni berkata, 10 pegawai serta anggotanya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dan turut mendapat bantuan penduduk kampung serta anggota polis yang berada di lokasi.

Menurutnya lagi, selepas lebih satu jam mereka berjaya mengeluarkan kaki kiri mangsa dari celahan bongkah batu besar itu.

“Operasi tamat sepenuhnya jam 6.40 petang dan mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Balah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini