Tumpuan :
Nasional

‘Tahan’ jasad bayi: 2 laporan diterima, Polis rakam keterangan 5 saksi

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan. Foto fail NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Polis sudah merakam keterangan lima individu berhubung isu mayat bayi lelaki ‘disimpan’ dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang, berikutan ibu bapanya tidak menjelaskan bil rawatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata ,setakat ini pihaknya merakam percakapan ibu bapa bayi dan dua orang doktor yang bekerja di hospital terbabit, selain saksi awam yang merupakan rakan kepada ibu bapa bayi itu.

Bercakap kepada Buletin TV3, kesemua saksi tersebut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sejak semalam bagi membantu siasatan kes.

“Kita telah panggil lima orang saksi dan beberapa orang saksi lagi akan dipanggil dan kita juga akan dapatkan beberapa dokumen yang berkaitan daripada pihak hospital,” katanya.

Dalam pada itu, polis sedang berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenalpasti pengendali akaun Facebook Mr. Wan Chai Official bagi dirakam keterangan.

Sehingga kini polis menerima dua laporan daripada ibu dan bapa bayi terbabit yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat menuntut jenazah anaknya untuk dikebumikan, selepas gagal membayar bil hospital.

Hussein berkata, laporan itu diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).

Ujarnya, polis sedang menjalankan siasatan secara mendalam untuk menentukan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah dalam isu ini serta menanganinya dengan sebaik mungkin.

Sebelum ini, tular perkongsian Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang terpaksa menggunakan air panas bercampur air paip untuk memendikan jenazah bayi lelaki apabila mayat didakwa disimpan di peti sejuk mayat sebuah hospital selama dua minggu, hanya disebabkan ibu bapanya gagal menjelaskan bil hospital lebih awal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini