Tumpuan :
Nasional

Tahan, beku jenazah bayi suatu penganiayaan yang menyalahi hukum syarak – Dr. Mohd Hapiz

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohd Hapiz Mahaiyadin (Gambar kecil).

SHAH ALAM: Tindakan sebuah hospital swasta yang didakwa menahan dan membekukan jenazah bayi selama dua minggu disifatkan sebagai suatu penganiayaan yang menyalahi hukum syarak.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, membekukan jenazah bayi selama dua minggu seperti dilaporkan adalah tidak wajar kerana menyebabkan kelewatan pengebumian jenazah seorang muslim yang sepatutnya disegerakan jika tiada sebarang keuzuran.

“Adapun tindakan penahanan disebabkan menunggu si bapa untuk menyelesaikan kos bersalin ibunya bukanlah suatu keuzuran syarie (seperti kes pembunuhan, kemalangan dan sebagainya yang perlu dibedah siasat) kerana tuntutan kos itu boleh diselesaikan dengan cara lain.

“Dalam hal ini, ianya menjadi satu penganiayaan fizikal yang menyalahi syarak yang tidak wajar dibiarkan berulang sekali lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut katanya, ada beberapa perkara berkaitan hukum syarak yang perlu dipertegaskan berhubung perbuatan menahan jenazah bayi berkenaan.

Menurutnya, jika bayi yang dilahirkan sudah berusia enam bulan dan ke atas, maka jenazahnya wajib dilakukan seperti jenazah orang dewasa iaitu dimandikan dan dikafankan, solat jenazah dan dikebumikan.

“Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu. (HR Bukhari dan Muslim).

“Jadi, jenazah bayi yang mati itu sudah melebihi usia enam bulan wajib disegerakan melainkan terdapat keuzuran seperti menunggu kedatangan wali (bapa, ibu atau penjaga yang sah) dalam jarak masa singkat yang mana dipercayai badan jenayah masih elok dan tidak berlaku perubahan (membusuk dan sempamanya),” katanya.

Bagaimanapun katanya, ia boleh ditangguhkan jika terdapat keperluan (maslahah) yang kritikal seperti wujudnya keraguan tentang punca kematian atau tujuan bedah siasat dalam kes-kes tertentu seperti pembunuhan, kemalangan dan sebagainya.

“Menurut Imam al-Syirbini turut menyatakan hukum yang sama dalam kitabnya Mughniy al-Muhtaj : Tidak boleh ditunda solat jenazah karena menunggu pertambahan jumlah orang solat berdasarkan hadis sahih berbunyi : “Segeralah pengurusan jenazah”. Namun tidak mengapa menunggu wali dari tempat yang dekat selama tidak dikhuatirkan jasad mayat itu berubah kerana menyegerakan penguburan merupakan hak mayat, sedangkan solat tidak hilang dengan sebab penguburan,” katanya.

Sementara itu, berhubung dakwaan menghina fizikal bayi itu katanya, seorang muslim perlu berakhlak Islam dengan hendaklah menjaga lidah dan tangan daripada menyakiti orang lain.

“Abdullah bin Amr RA, meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Orang Islam itu ialah yang orang Islam terselamat daripada lidahnya dan tangannya, dan orang yang berhijrah itu ialah mereka yang berhijrah daripada perkara yang Allah tegah (H.R Bukhari dan Muslim).

“Justeru tindakan menghina seseorang dalam semua keadaan adalah suatu yang menyalahi akhlak Islam. Kita seharusnya menjauhi daripada memaki, mencela, dan berkata tidak elok pada orang lain atau mengenai diri mereka.

“Terdapat sebuah hadis lain daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bukan daripada kalangan orang yang sempurna imannya mereka yang suka mencela, suka melaknat dan suka berkata-kata kotor (HR Ahmad),” katanya.

Jelas beliau, antara sebab kita tidak boleh menghina fizikal atau kekurangan orang lain kerana semua manusia sama ada Islam atau bukan Islam adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang ditetapkan dengan ahsani taqwim iaitu susunan yang sempurna.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini