comscore
Tumpuan :
Nasional

Tafsir sendiri ayat al-Quran: Howard Lee minta maaf

Howard Lee ketika sidang media di Pusat Khidmat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur. – Foto NST

IPOH: Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How hari ini tampil memohon maaf susulan dakwaan beliau membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran susulan video tular sejak minggu lepas.

Howard tampil memohon maaf menerusi sidang media yang dibuat di Pusat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur dekat Pengkalan selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini 2 petang tadi.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu berkata, permohonan maaf itu dibuat antaranya mengambil kira saranan dari Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegurnya supaya tidak mengulangi perbuatan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.

Ditanya sama ada tindakan memohon maaf ini dibuat hanya selepas keterangannya selesai diambil polis walaupun isu itu sudah berlarutan sejak minggu lalu, ahli Parlimen dari DAP itu berkata, baru hari ini beliau berkesempatan untuk keterangannya diambil polis kerana baru sahaja pulang ke Malaysia selepas menghadiri Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78 di New York, Amerika Syarikat.

“Saya ambil kesempatan di sini untuk meminta maaf atas segala kesulitan dan memohon maaf bagi semua pihak termasuk semua rakan bukan Islam dari parti lain, Gerakan dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang turut memetik ayat suci al-Quran dalam konteks politik,” katanya dalam sidang media itu.

Terdahulu, isu mengenai Howard hangat diperkatakan khususnya dalam kalangan pemimpin PAS yang menyifatkan beliau kurang ajar dan cuba memprovokasi apabila memutarbelitkan tafsiran ayat al-Quran iaitu ayat 59 surah an-Nisa berhubung mentaati Ulil Amri yang disamakan dengan kerajaan ketika ini menerusi video tular terbabit.

Howard dalam pada itu berkata, sebelum memetik ayat al-Quran menerusi video tular itu, beliau sudah pun merujuk kepada pihak yang arif termasuk agamawan.

“Saya tak tafsir sendiri tetapi saya menukilkan (memetik) tafsiran ayat itu yang diajarkan pihak arif dan orang alim. Bukan sahaja dalam hal agama Islam sebaliknya semua topik saya hendak ulas yang bukan kepakaran saya, maka saya akan buat kajian dahulu termasuk bertalaqi dengan orang alim dan bermuzakarah dengan beberapa ustaz.

“Namun sekarang pula tidak boleh. Saya juga sangsi mengapa DHPP boleh sahaja memetik ayat al-Quran malah melafazkannya dalam bahasa Arab, sedangkan saya hanya memetik tafsir (terjemahan) dengan tidak memetik bahasa Arab.

“Saya hendak bertanya sama ada dari DHPP adakah laporan polis sudah dibuat juga terhadap mereka?” katanya.

Loading...
Terkini