Tumpuan :
Bencana

Taburan hujan di Johor jarang berlaku – MetMalaysia

Deretan kedai ditenggelami air akibat banjir yang melanda di Kota Tinggi, Johor – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Taburan hujan yang tinggi sejak beberapa hari lalu di Johor adalah sesuatu yang jarang berlaku.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata namun berdasarkan rekod sebelum ini, ia bukan luar biasa kerana pernah berlaku beberapa kali.

Katanya, ketika ini negara sedang berada di penghujung Monsun Timur Laut (MTL) dan kebiasaannya cuaca di Semenanjung adalah lebih kering.

“Biasanya apabila berlaku luruan monsun, ia akan menghasilkan hujan lebat berterusan ketika MTL.

“MetMalaysia sudah menjangka empat sehingga enam episod hujan lebat akan berlaku sepanjang MTL 2022/2023. Hujan berterusan yang sedang berlaku ketika ini adalah episod hujan lebat keenam,” katanya kepada BH, hari ini.

MetMalaysia hari ini turut mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya di dua negeri sehingga esok.

Portal MetMalaysia pada jam 8 pagi tadi, memaklumkan hujan berterusan itu dijangka berlaku di Rompin, Pahang serta Segamat, Kluang dan Mersing, Johor.

Hujan berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di Pekan, Pahang serta Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, Johor.

Hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di Maran, Kuantan dan Bera, Pahang; Jempol dan Tampin, Negeri Sembilan serta Melaka.

Selain itu, MetMalaysia turut memaklumkan hujan berterusan dijangka berlaku hari ini di Sarawak membabitkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Kanowit) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini