Oleh: Fatin Hanani Sahimi & Nurul Haifaa Halim
BANGSAR: Media Prima Berhad (MPB) menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima meneruskan kesinambungan misi kemanusiaannya melalui sumbangan kepada pertubuhan Aman Palestin yang memanfaatkan 12,616 rakyatnya.
Bantuan kewangan RM508,300 diberi kepada 2,475 keluarga bagi meringankan beban mereka yang berdepan konflik politik di Gaza.
Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, MPB Azlan Abdul Aziz berkata sumbangan itu disalurkan bagi membantu rakyat Palestin membuat persiapan sambutan bulan Ramadan dan Syawal lalu.
Terdahulu sumbangan diserahkan kepada pertubuhan itu menerusi Program Ramadan Bersama yang berlangsung dari 1 April hingga 30 April lalu.
“Yang menjadi keutamaan adalah keperluan perubatan kepada mangsa di sana, kerana di sana selalu ada konflik, jadi memerlukan dana yang amat tinggi untuk memastikan mereka mendapat keperluan asas seperti keperluan perubatan.
“Antara lain fokus yang diberikan adalah kepada penyampaian bantuan makanan kepada penduduk Palestin di bulan Ramadan yang lepas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Balai Berita News Straits Times Press (NSTP), di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Bhd, Awang Sufian Awang Piut turut berkesempatan menyerahkan Laporan Sumbangan Tabung Berkenaan Kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Muhd Farhan Muhd Fadhil turut menzahirkan penghargaan kepada MPB terhadap usaha mengumpulkan dana bagi membantu rakyat Palestin.
Jelasnya agihan dibuat secara berperingkat selama 32 hari dengan 80 peratus di Gaza dan sebahagiannya di tebing barat menerusi bantuan tujuh kakitangan Aman Palestin Bhd.
“Antara bentuk bantuan yang diberikan ini, adalah bantuan dari segi kotak makanan, wang tunai di mana setiap keluarga akan dapat AS$100 (kira-kira RM473).
‘‘Selain itu, bantuan berbuka puasa dan juga hadiah hari raya bagi menghadapi ramadan serta meraikan syawal turut diberikan,” tambahnya.