Tumpuan :
Nasional

Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima: Pilih saluran tepat, elak penipuan & penyelewengan

PETALING JAYA: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Persiaran Mahogani menyerahkan cek bernilai RM2,100 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima dalam membantu meringankan beban penduduk Gaza yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Pengerusinya, Wan Ismail Wan Puteh berkata, Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima dipilih menjadi saluran kutipan sumbangan berkenaan kerana terdapat isu penipuan dan penyelewengan yang berselindung di sebalik nama Palestin.

“Sekarang ni banyak daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau syarikat individu yang menjalankan projek amal untuk Palestin dan kita memilih Tabung Palestin di bawah Media Prima.

“Ini kerana Media Prima adalah satu-satunya medan sosial yang telah dikenali ramai dan tidak akan berlakulah penipuan dan sebagainya,” katanya kepada Buletin TV3.

Melihat kepada kemampuan Media Prima dan kerja amalnya kepada masyarakat seluruh negara, katanya pihak mereka yakin hasil kutipan yang diserahkan dapat disalurkan kepada penduduk Palestin.

Tambahnya, masyarakat di Persiaran Mahogani telah menjalankan inisiatif jualan amal pada hujung minggu bagi meraih sebanyak mungkin kutipan untuk disumbangkan.

Malah ada antara mereka yang sanggup menjual barangan peribadi dan kemudian ianya dijual kepada golongan masyarakat yang lebih memerlukan pada tanda harga yang jauh lebih rendah sebagai sumbangan terhadap inisiatif terbabit.

Ujarnya, pihak KRT Persiaran Mahogani berhasrat untuk meneruskan inisiatif berkenaan supaya penderitaan dan kesulitan yang dihadapi penduduk Gaza ketika ini menjadi ibrah kepada masyarakat di sini.

Loading...
Terkini