comscore
Tumpuan :
Nasional

Tabung Kasih@HAWANA: Karam Singh Walia terima kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KLANG: Nama Datuk Karam Singh Walia yang menjadi tonggak penting Buletin Utama dengan penyampaian berita ikonik sudah tidak asing lagi bagi pengamal media dan segenap lapisan masyarakat.

Beliau yang pernah mendominasi dunia kewartawanan sejak tahun 1995, kini mengalami keuzuran akibat penyakit hati dan buah pinggang sejak hampir dua tahun lalu.

Justeru, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hari ini meluangkan masa menziarahi bekas wartawan TV3 itu selain menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu meringankan beban beliau.

“Apabila saya dimaklumkan tentang keadaan Datuk Karam saya memang berhasrat untuk datang sendiri untuk melawat beliau sebagai kawan, bukan datang atas kapasiti seorang Yang Berhormat, untuklah kirim salam daripada kementerian, Yang Berhormat Menteri (Komunikasi) dan kawan-kawan wartawan yang lain.

“Saya rasa hasrat untuk kami wujudkan tabung kasih ini adalah untuk kita adakan satu tabung untuk membantu sama ada pengamal media ataupun bekas pengamal media pada waktu yang susah seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menziarahi wartawan veteran itu di kediamannya di Klang, Selangor hari ini.

Teo memaklumkan, Karam merupakan antara 103 rakan media yang menerima manfaat daripada tabung berkenaan sejak ia diperkenalkan pada April tahun lalu.

Tambahnya, semangat dan profesionalisme yang ditunjukkan Karam sepanjang perkhidmatannya perlu dicontohi oleh semua petugas media selain menjadi pedoman serta moto bukan sahaja dalam dunia kewartawanan malah untuk bidang lain juga.

“Saya amat terharu dengan kedatangan YB Teo untuk melawat saya bersama rakan-rakan dari pelbagai media.

“Terima kasih banyak dari hujung rambut hingga ke tapak kaki, suka saya bila orang datang jenguk saya (dan) tengok (saya),” ujarnya.

Beliau yang pernah memenangi pelbagai anugerah kewartawanan turut mengingatkan wartawan serta pengamal media di negara ini untuk menjaga kredibiliti dan terus memperjuangkan isu rakyat tanpa ada sebarang niat mengejar populariti.

Malah, golongan profesional itu juga perlu menjadi pejuang utama kepada masalah rakyat dan tidak sepatutnya merungut tentang perkara remeh yang tidak mendatangkan faedah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini