Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023, membabitkan jumlah agihan RM2.72 bilion, setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.57 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, agihan keuntungan itu akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit, berbanding agihan sebanyak RM2.65 bilion kepada 8.8 juta pendeposit pada 2022.
Ini menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan selama 60 tahun sebanyak RM42.88 bilion sehingga kini.
“TH juga akan melunaskan zakat sebanyak RM101 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit untuk tahun 2023. TH berharap pelunasan zakat ini secara tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara.”
“Pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima. Sehingga kini TH telah melunaskan zakat berjumlah RM1.37 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2023 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Syed Hamadah Syed Othman serta Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan, Mustakim Mohamad.
Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula jam 12 tengah hari ini, menerusi platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik Tabung Haji iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.