BAYAN LEPAS: “Saya syukur turun awal, kalau tidak mungkin saya juga jadi mangsa”.
Itu kata seorang pekerja yang terselamat dalam tragedi runtuhan gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas di sini, malam tadi.
Mohidul Islam, 43, warga Bangladesh berkata, dia bersama empat rakan yang membuat kerja kayu di bahagian atas gudang turun untuk berehat beberapa minit sebelum kejadian.
Mereka tiba-tiba terdengar dentuman kuat dan keadaan menjadi kelam kabut selepas menyedari terdapat runtuhan pada struktur yang sedang dalam pembinaan.
“Kebanyakan kami di sini baru tiga bulan bekerja di tapak projek ini dan tidak menyangka akan berlaku kejadian seperti ini. Saya amat sedih kerana ramai rakan terkorban,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pagi ini.
Seorang lagi pekerja, Md Ikhtiar, 38, berkata, ketika kejadian 9.40 malam itu, dia bekerja di bahagian bawah gudang sebelum tiba-tiba terasa struktur bangunan itu seperti bergoyang.
Dia lantas lari menyelamatkan diri selepas mendengar jeritan pekerja lain sebelum melihat gudang itu runtuh.
“Seorang daripada mangsa berjaya ditarik keluar tetapi keadaannya ketika itu sangat parah dan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan awal hari ini, memaklumkan pihaknya mengalami kesukaran untuk mengalihkan rasuk-rasuk yang terjatuh bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus.
“Kren digunakan untuk mengalihkan struktur rasuk berat yang menghalang laluan masuk ke runtuhan dan kerja-kerja pengalihan ini memerlukan sedikit masa,” menurut JBPM.
Ketika kejadian, terdapat 18 pekerja berada di lokasi tetapi sembilan daripada mereka keluar untuk solat dan sembilan dilaporkan terperangkap.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamad mengesahkan tiga pekerja warga Bangladesh maut dan dua parah manakala empat lagi dikhuatiri masih tertimbus, setakat jam 6 pagi tadi.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Kenakan tindakan tegas jika kecuaian punca runtuhan gudang – Timbalan Speaker DUN
- Projek gudang logistik runtuh, diarah henti kerja serta-merta
- [KEMAS KINI] Runtuhan bangunan: Tiga maut, dua parah, empat lagi masih tertimbus
- 9 dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan bangunan
- [VIDEO] Mangsa kedua runtuhan bangunan di Pulau Perhentian meninggal dunia di HUSM