BANGI: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) disaran dilaksanakan semula dengan lebih sempurna bersama kurikulum yang menjurus kepada pembinaan negara bangsa, bukannya politik kepartian.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, PLKN boleh dijadikan platform untuk negara membuat persediaan melahirkan lebih ramai pemimpin supaya masa hadapan Malaysia menjadi lebih baik.
“Pemimpin yang ada sekarang tidak akan ada lagi pada masa akan datang. Jika tiada platform untuk mendidik bakal pemimpin, kesalahan perlu diletakkan sepenuhnya kepada pemimpin ada yang masa kini.
“Sebab itu saya akan usulkan supaya PLKN dikembalikan dengan lebih sempurna dan kurikulum menjurus kepada pembinaan negara bangsa dan bukan politik kepartian. Saya rasa terpanggil kerana pemimpin yang ada sekarang akan tiada satu hari nanti.
“Jadi sekiranya tiada platform untuk mendidik pemimpin masa hadapan, kesalahan mesti diletakkan di atas bahu kami,” katanya pada Sesi Townhall Ikon MADANI sempena Jelajah Ikon MADANI Peringkat Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Kira-kira 2,000 mahasiswa dari lapan institusi pengajian tinggi (IPT) hadir pada program berkonsepkan bual bicara fokus kepada perkongsian ilmu daripada tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang dalam usaha melahirkan graduan dengan mentaliti kelas pertama.
Johari mengakui ketika ini beliau taksub untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih baik, namun ia hanya dapat direalisasikan jika sistem pendidikan negara memberi peluang kepada generasi muda berbicara mengenai politik.
“Perlu ada platform untuk melatih bakal pemimpin yang akan memimpin negara pada masa hadapan. Dengan kedudukan dan kapasiti sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, saya akan bersungguh-sungguh (menyediakan platform) dan ini perlu berlaku.
“Persediaan untuk meninggalkan atau memberikan tampuk pemerintahan kepada anak-anak muda ini mesti berlaku,” katanya yang turut menyarankan pihak sekolah memainkan peranan berusaha mendapatkan bakal pemimpin mulai sekarang.
Tambahnya, dengan adanya latihan industri di Parlimen, generasi muda juga akan dilatih menjadi bakal pemimpin.
“Latihan industri di Parlimen ini baru dibuka kepada mereka yang berminat yang akan diberi latihan sewajarnya,” katanya.