Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti pindaan undang-undang bagi memastikan syarikat telekomunikasi berperanan lebih besar dalam membanteras jenayah penipuan kewangan dalam talian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut masih di peringkat awal dan kini diselaraskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
“BNM sedang mengkoordinasikan perkara ini, dan syarikat telekomunikasi telah dimaklumkan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kawalan digital diperluaskan ke platform media sosial yang sering menjadi medium utama penipuan kewangan
“Namun, terdapat kebimbangan undang-undang yang bakal dipinda mungkin dilihat terlalu ketat. Tetapi kita sedang teliti perkara ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri Empat: Menggunakan Teknologi dalam Perkhidmatan Kewangan bagi Memacu Kemakmuran dan Keterangkuman di ibu negara, malam tadi
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman.
Menurut laporan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, sebanyak 35,368 kes penipuan dalam talian dicatatkan tahun lalu, dengan kerugian mencecah RM1.57 bilion.
Kes penipuan telekomunikasi merupakan modus operandi tertinggi dengan 14,684 kes dan kerugian RM497.12 juta, diikuti penipuan e-dagang (7,662 kes), pelaburan tidak wujud (6,337 kes), pinjaman tidak wujud (4,103 kes), jenayah e-kewangan (1,812 kes), dan love scam (770 kes).