Tumpuan :
Nasional

Syor pengurangan komisyen warga emas dalam e-hailing dapat reaksi positif – TPAD

Foto hiasan

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) memaklumkan cadangan untuk pengurangan komisyen bagi warga emas yang melakukan perkhidmatan pemandu e-hailing mendapat reaksi positif kerajaan.

Menerusi perbincangan kedua bersama Kementerian Pengangkutan itu, Presidennya, M Nathan berkata mereka yang berusia 60 tahun ke atas kadar itu dapat diturunkan antara lima hingga 10 peratus.

“Maklum balas yang kita berjaya itu adalah mengenai tuntutan warga emas akan dikurangkan komisyen. Tapi kita tidak tahu bila dia nak laksanakan.

“Komisyen dia akan berkurang lima hingga 10 peratus kepada semua pengendali perniagaan pengantaraan (EHO),” katanya ketika ditemui di Kementerian Pengangkutan hari ini.

Presiden TPAD, M Nathan.

Tambah Nathan, setiap pengguna platform e-hailing juga perlu membuat pengesahan identiti.

Ujarnya, perkara itu bagi mengelakkan akaun palsu yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Bila ada pelanggan buat tempahan dalam aplikasi ini, kena ada semua maklumat itu disahkan dengan pasport dan juga kad pengenalan.

“Tidak boleh main cincai nak tempah, semua maklumat sahih ini akan ada selepas ini. Ia melibatkan EHO dan pengendali p-hailing (PHO) turut bersama dengan cadangan ini,” ujarnya.

Selain itu, cadangan untuk setiap pemandu e-hailing dan p-hailing mempunyai kamera papan pemuka atau dashcam bagi memastikan keselamatan mereka terjamin juga antara yang dipersetujui dalam mesyuarat sama.

Tambahnya, tuntutan TPAD agar sistem auto-accept atau terima secara automatik dalam perkhidmatan e-hailing dihapuskan kerana dianggap merugikan pemandu juga masih dalam perbincangan.

Pihaknya juga akan membuat pertemuan dengan Bank Negara Malaysia untuk membenarkan satu insurans komprehensif untuk e-hailing.

Sebelum ini, beliau turut menyifatkan kadar insurans yang dikenakan ke atas pemandu e-hailing kini lebih tinggi berbanding teksi, meskipun kos operasi kedua-dua jenis perkhidmatan hampir sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini