Tumpuan :
Nasional

Syor gubal akta khas kawal selia teknologi AI

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan undang-undang khusus bagi mengawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI) susulan penggunaannya semakin berkembang dalam pelbagai sektor kritikal, yang membawa pelbagai cabaran dan isu baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, akta sedia ada, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memberi tumpuan kepada infrastruktur telekomunikasi, perkhidmatan dan kandungan multimedia, namun tidak menangani isu khusus berkaitan AI, seperti pemprosesan data secara automatik, diskriminasi algoritma dan tanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat oleh sistem AI.

Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

Selain itu, walaupun Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 memberikan perlindungan kepada data peribadi, ia mungkin tidak mencukupi untuk menangani teknik baharu, seperti pembelajaran mesin (machine learning), yang memerlukan pengawasan lebih mendalam.

Justeru, Amirudin berkata, kerjasama antara Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), Jabatan Peguam Negara, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan CSM serta pihak berkepentingan lain amat diperlukan untuk merangka undang-undang yang dapat menangani penyalahgunaan teknologi AI serta teknologi dengan keupayaan kognitif, yang boleh membawa kemudaratan, seperti kerosakan, penderitaan dan kehilangan nyawa.

“Undang-undang baharu ini kelak boleh menetapkan standard etika dalam pembangunan dan penggunaan AI, seperti prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan pemantauan terhadap keputusan sistem AI.

“Selain itu, ia boleh merangka piawaian keselamatan sebagai garis panduan untuk memastikan AI tidak disalahgunakan, terutama dalam manipulasi maklumat, diskriminasi, atau pengawasan berlebihan.

“Dengan wujudnya undang-undang khusus ini, ia dapat merangsang inovasi dalam teknologi AI, sambil memastikan perlindungan yang mencukupi untuk kepentingan awam dan mewujudkan keseimbangan antara pembangunan teknologi serta pengawalan risiko,” katanya.

Sebelum ini, PDRM pernah mencadangkan kerajaan untuk mewujudkan peraturan atau undang-undang khusus bagi mengawal selia teknologi AI berikutan kewujudan pelbagai ancaman akibat salah guna cabang teknologi itu, seperti ‘deepfake’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata isu ‘deepfake’ yang disalah guna sebagai alat jenayah dan memanipulasi kandungan digital untuk tujuan jahat sudah menjadi isu global dan semua pihak kini sedang berusaha mencari kaedah terbaik menangani isu itu.

Pada 7 Januari lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan serius menangani ancaman penipuan dalam talian membabitkan ‘deepfake’ dan antara usaha yang diambil, termasuk kelulusan pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada Disember tahun lalu.

Sementara itu, Amirudin menasihatkan organisasi dan orang ramai supaya berwaspada serta mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak terjerat menjadi mangsa ‘deepfake’.

Katanya, mereka perlu sentiasa berhati-hati terhadap maklumat digital yang diterima dan boleh menggunakan teknologi, seperti aplikasi pengesanan ‘deepfake’.

“Selain itu, hadkan perkongsian data peribadi, seperti gambar atau suara di media sosial dan jika menjadi mangsa, segera laporkan kepada pihak berkuasa, seperti PDRM atau CSM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini