comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Syed Saddiq dikenakan sebatan atas pecah amanah dan salah guna dana ARMADA

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 7 tahun penjara bersama dua sebatan dan denda RM10 juta ke atas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Hukuman itu ditetapkan selepas tertuduh didapati bersalah atas kesemua empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Keputusan itu dibuat Datuk Azhar Abdul Hamid selepas pembelaannya gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Bagi pertuduhan pecah amanah, tertuduh dikenakan penjara tiga tahun bersama satu sebatan.

Manakala untuk pertuduhan salah guna dana, mahkamah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara bersama satu sebatan ke atas Syed Saddiq.

Sementara bagi dua lagi pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, mahkamah memerintahkan masing-masing dua tahun penjara yang dijalankan secara serentak, dan denda RM5 juta.

Syed Saddiq kelihatan tenang, sejurus mendengar hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan.

Syed Saddiq dicium ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, selepas hakim membenarkan untuk menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dikemukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur – Foto: NSTP

Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim, yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakannya.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun bank ARMADA Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun bank miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini