![](https://media.buletintv3.my/2025/01/anwar-ibrahim.jpg)
KUALA LUMPUR: Tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dimaklumkan Syed Mokhtar berikutan pengumuman harga lantai belian padi yang diselaraskan kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik.
“Susulan pengumuman hari ini, saya telah menghubungi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Alhamdulillah beliau bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.
“Insya-Allah, kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat,” katanya dalam laman sosialnya hari ini.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan keputusan Kerajaan MADANI untuk menyelaras harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan, berkuat kuasa Ahad ini.
“Ini adalah penyelarasan harga lantai belian padi yang kedua dilaksanakan Kerajaan MADANI dalam tempoh dua tahun untuk menambah pendapatan pesawah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Harga beras putih tempatan dikekalkan pada RM2.60 sekilogram (kg) dengan kerajaan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.
Anwar berkata, kerajaan pernah mengumumkan penyelarasan pertama pada 2023 selepas hampir 10 tahun harga lantai belian padi kekal pada harga RM1,200.
“Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama saya tatkala diberi amanah mengemudi negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.