Oleh: Syafiqah Damanhuri
KLUANG: Calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah mengajak orang Mahkota untuk turun mengundi demi masa depan Kluang.
Beliau yang selesai menunaikan tanggungjawab itu berkata, inilah hari penentu untuk masa depan masyarakat di sini.
“Masa masih panjang lagi, pusat mengundi ada yang buka hingga jam 5 petang, 6 petang.
“Apapun kita sama-sama turun buktikan pada negara bahawa Kluang sudah bersedia untuk menentukan masa depan kita semua, insya-Allah.” katanya.
Menurut Syed Hussien, proses demokrasi itu juga berjalan lancar setakat ini.
“Alhamdulillah, hari ini kita tengok pusat pengundian semua buka, keadaan terkawal seperti biasa.
“Kita dapat lihat pelbagai lapisan bangsa dan masyarakat keluar bagi menunaikan tanggungjawab mereka.
“Inilah yang kita nak lihatkan semangat kebersamaan untuk keluar bukan sahaja nampak sebagai sebuah keluarga besar dalam Kluang.
“Malah semangat untuk menentukan masa depan mereka di N29 Mahkota.” Ujarnya.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan Calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.