Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Syed Hamadah Syed Othman dilantik sebagai Anggota Lembaga serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) berkuat kuasa esok, menggantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin.
Pelantikan itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Na’im berkata, Syed Hamadah mempunyai ijazah dalam bidang Statistik dan Matematik Aktuari dari Heriot Watt University, Edinburgh, Scotland, serta memiliki pengalaman luas dalam pengurusan korporat selain merupakan Felo di Fakulti Aktuari, United Kingdom dan Felo di Persatuan Aktuari Malaysia.
“Kewibawaan dan kepakaran Syed Hamadah adalah diyakini mampu memacu kecemerlangan TH sebagai tonggak kejayaan ekonomi ummah serta institusi pengurusan haji terbaik dunia.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Syed Hamadah atas pelantikan ini. Selamat menjalankan amanah demi agama, negara dan ummah,” katanya.
Syed Hamadah sebelum ini pernah dilantik sebagai CEO Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Pengarah di Actuarial Partners Consulting Sdn Bhd.
Pada masa sama, Mohd Na’im merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Amrin atas segala jasa bakti dan perkhidmatan terbaik yang diberikan sebelum ini kepada pengurusan TH.
Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar memaklumkan, Lembaga TH mengalu-alukan pelantikan Syed Hamadah bagi menggantikan Amrin yang telah melengkapkan penggal perkhidmatan dua tahun sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO serta Ahli Lembaga TH pada hari ini.
“Saya yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas dimiliki Syed Hamadah akan dapat meneruskan usaha memperkukuhkan TH dari segi tadbir urus serta operasi ke tahap yang lebih cemerlang serta membanggakan di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Syed Hamadah mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun dan pakar dalam perundingan multinasional dan organisasi tempatan mengenai reka bentuk pencen, pembiayaan, perakaunan pencen, penggabungan dan pengambilalihan.
“Ahli Lembaga dan Pengurusan Kanan TH menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Amrin atas komitmen serta usaha beliau dalam mengatur strategi bagi mencapai aspirasi Hijrah24 dalam melonjakkan aktiviti pengurusan haji, operasi cawangan dan pelaburan supaya TH terus kekal berdaya saing, mampan dan berwibawa selari dengan arus semasa dalam aspek pengukuhan struktur tadbir urus korporat, dan inisiatif digitalisasi,” katanya.