comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat penerbangan tuntut penjelasan Microsoft, ganti rugi rugi – Tony Fernandes

Situasi di KLIA 2 agak sesak namun kios daftar masuk layan diri kembali beroperasi seperti biasa jam 2 petang tadi dengan petugas AirAsia meneruskan pemantauan di Balai Pelepasan bagi membantu penumpang sekiranya berhadapan dengan masalah daftar masuk.

KUALA LUMPUR: Gangguan IT global yang mencetuskan kegagalan sistem serta huru-hara dalam urusan orang ramai telah menyebabkan banyak syarikat penerbangan kehilangan pendapatan mencecah jutaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.

Fernandes menerima permohonan maaf CrowdStrike tetapi menekankan bahawa syarikat penerbangan masih menunggu penjelasan daripada Microsoft mengenai insiden itu.

“Syarikat-syarikat teknologi tidak memiliki empati. Semasa kami berhadapan dengan COVID-19, mereka tidak bertimbang rasa.

“Sekarang mereka mempunyai masalah dan mengharapkan kami perlu faham. Syarikat penerbangan memerlukan jawapan dan ganti rugi,” katanya dalam catatan LinkedIn hari ini.

CrowdStrike Holdings Inc, sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika yang berpangkalan di Austin, Texas, menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.

Berdasarkan huru-hara yang terjadi semalam, Fernandes menekankan kepentingan untuk belajar dan berkembang daripada situasi tersebut.

Beliau ketika menjelaskan lebih lanjut mengenai gangguan itu berkata keadaan nampaknya telah stabil pada hari kedua gangguan IT global yang merencatkan operasi AirAsia di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Tetapi kami tidak leka. Kami bersedia untuk sebarang gangguan selanjutnya,” katanya.

Syarikat penerbangan itu telah menguruskan operasi secara manual, bermula daripada daftar masuk, mencetak pas kemasukan sehingga kepada penghantaran bagasi, dengan lebih 100 sukarelawan Allstar membantu di lapangan.

“Ini mengingatkan saya pada zaman awal kami 23 tahun lepas apabila semuanya dilakukan secara manual. Kami berbangga kerana kami telah meminimumkan pembatalan penerbangan disebabkan ketangkasan kami untuk beralih kepada operasi manual dan komitmen ikhlas kami bagi berkhidmat kepada rakyat,” tambahnya lagi.

Walaupun terdapat beberapa kelewatan, Fernandes memberi jaminan bahawa AirAsia berazam untuk menerbangkan semua orang dengan selamat ke destinasi mereka.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada tetamu kami yang telah bersabar dan menghargai usaha kami sepanjang ujian ini,” katanya.

AirAsia meneruskan operasi daftar masuk dalam taliannya pada 2 petang hari ini, berikutan masalah IT global yang bermula petang semalam. – BERNAMA

Loading...
Terkini