comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat penerbangan perlu ada nilai kemanusiaan tentukan harga tiket

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan digesa menggunakan pertimbangan kemanusiaan dalam menentukan harga tiket di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, terutama ketika cuti perayaan.

Gesaan dibuat Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan yang percaya perkara itu dapat dilakukan sebagai penghargaan kepada rakyat kedua-dua negeri yang menjadi penyumbang utama pembangunan industri penerbangan negara.

Katanya, syarikat penerbangan tidak sepatutnya hanya melihat aspek keuntungan dan menjadikan faktor permintaan dan penawaran sebagai alasan menentukan harga tiket.

“Kita percaya boleh menurunkan harga tiket penerbangan dengan melihat dari sudut kemanusianan, bukan aspek keuntungan syarikat semata-mata saja.

“Kita perlu ingat Sabah dan Sarawak menjadi penyumbang utama industri penerbangan. Jadi, kena ambil kira perkara ini dan kita mahu ia dibincangkan supaya ada penyelesaian dalam isu ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej Bola In The City With Sabah FC, di sini, semalam.

Khairul Firdaus mengulas isu tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang mahal ketika kemuncak sambutan Aidilfitri akhir minggu lalu yang turut memberi kesan kepada sektor pelancongan.

Katanya, isu tiket penerbangan mahal pada cuti perayaan yang berulang saban tahun amat membebankan pengguna terutama rakyat Sabah dan Sarawak, sekali gus menimbulkan kekecewaan terhadap syarikat penerbangan di negara ini.

“Walaupun kita tahu kemuncak musim perayaan sudah habis tapi ia berlaku setiap tahun, kos tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak cukup membebankan.

“Kita tahu ia berkaitan permintaan dan penawaran tetapi berlaku pada setiap musim perayaan dan ini yang membuatkan rakyat kita di Sabah dan Sarawak cukup kecewa kerana kosnya sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga sering menyuarakan perkara itu kepada Kabinet Persekutuan, bukan saja untuk kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak, malah bagi pembangunan sektor pelancongan.

“Soal tambang penerbangan ini bukan tanggungjawab Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tapi menterinya (Datuk Seri Tiong King Sing) sering meluahkan perkara ini pada mesyuarat Kabinet.

“Sebab itu, ramai pemimpin Sabah dan Sarawak terkilan apabila kita tidak nampak syarikat penerbangan menyahut seruan kita (untuk menurunkan tambang penerbangan),” katanya.

Sebelum ini, beberapa laporan menyebut tambang penerbangan sempena musim perayaan di antara Kuala Lumpur dan destinasi di Sabah mencecah hingga lebih RM1,000 sehala, menimbulkan pelbagai reaksi tidak puas hati terhadap syarikat penerbangan.

Harga tiket yang mahal itu menyebabkan ramai rakyat Sabah dan Sarawak yang merancang untuk pulang pada Aidilfitri terpaksa melupakan hasrat berkenaan.

Loading...
Terkini