KUCHING: Model Perniagaan syarikat penerbangan butik yang akan ditubuhkan oleh Sarawak akan mengadaptasi konsep peniagaan yang tidak terlalu menekankan keuntungan semata-mata.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata syarikat terbabit akan ditubuhkan secara bersama antara Kerajaan Sarawak dengan pihak swasta bagi tujuan menstabilkan harga tiket penerbangan yang mahal di pasaran terutamanya menjelang musim perayaan.
“Apa yang kita perlukan adalah satu model perniagaan yang telah saya fikirkan sendiri yang akan membolehkan kita mempunyai penerbangan atau syarikat penerbangan yang kecil yang boleh terbang di wilayah ini.
“Namun begitu kita tidak terlalu fokus kepada keuntungan, jika kita boleh menampung kos operasi itu sudah mencukupi kerana yang penting rakyat akan dapat manfaat daripadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika acara rumah terbukanya, di sini, hari ini.
Jelas Abang Johari, perincian mengenai penubuhan syarikat penerbangan itu akan diumumkan oleh beliau sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada awal Mei depan.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kerajaan Sarawak sedang dalam proses memperhalusi model perniagaan bersesuaian sebelum syarikat penerbangan berkenaan ditubuhkan sepenuhnya.
Antaranya, mengambil kira kepakaran pengoperasian dan laluan penerbangan serta jenis pesawat yang akan digunakan.
“Untuk menubuhkan sebuah Syarikat penerbangan yang membawa penumpang banyak perkara-perkara, permit-permit antarabangsa dan sebagainya yang perlu diperoleh kerana industri ini sangat tegas dari segi keselamatan dan sebagainya, sebab itu perkara ini perlu diperhalusi dan diperolehi barulah kita dapat melancarkannya dan membawa penumpang-penumpang masuk,” katanya.
Kabinet Persekutuan yang bermesyuarat Rabu lalu bersetuju secara prinsip dengan permohonan Sarawak untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik.