Tumpuan :
Nasional

Syarikat pembersihan gaji warga asing pandu lori sampah tanpa lesen

JPJ menyita lori sampah yang dipandu warga asing tanpa lesen ketika pemeriksaan di Kawasan Perindustrian Nilai, Nilai. – Foto ihsan JPJ

SEREMBAN: Tindakan sebuah syarikat pembersihan menggaji warga asing tanpa lesen memandu (CDL) dan lesen memandu vokasional (GDL) sebagai pemandu lori sampah hanya mengundang padah.

Lori sampah dipandu warga Indonesia itu disita ketika pemeriksaan di Kawasan Perindustrian Nilai, Nilai kira-kira jam 7 pagi semalam, selain pemiliknya turut disaman.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, berkata pemeriksaan turut mendapati lori terbabit telah tamat cukai jalan dan tiada perlindungan insurans.

“Penyitaan dibuat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana melakukan kesalahan tiada lesen memandu GDL, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans,” katanya.

Hanif berkata, pemandu dan pemilik kenderaan disaman atas kesalahan berkenaan menurut Seksyen 26(1), 57, 23(1) dan 90(1) APJ 1987.

Beliau berkata JPJ juga menyerahkan pemandu lori dan seorang kelindan yang gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Penguatkuasaan ke atas pemandu warga asing akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Pengusaha syarikat pengangkutan diingatkan supaya menggaji pemandu mempunyai lesen memandu sah supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya.

“Mereka juga perlu memastikan kenderaan yang digunakan dilengkapi LKM dan insurans,” katanya.

Loading...
Terkini