Tumpuan :
Nasional

Syarikat pembekal ada sijil halal, sembelih ayam ikut syarak

Pemeriksaan oleh Penguatkuasa KPDN cawangan Kuala Kangsar terhadap ayam segar yang dijual di sebuah pasaraya di Kuala Kangsar tengahari semalam.- FOTO: Ihsan Pembaca

IPOH: Tiga syarikat yang membekalkan ayam segar kepada sebuah pasar raya di Kuala Kangsar disahkan mempunyai sijil halal.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, bekalan ayam yang diperolehi pasar raya berkenaan adalah daripada syarikat di Melaka; Bercham, Ipoh; dan Senawang, Negeri Sembilan.

Tambahnya, pemeriksaan pihaknya semalam juga mendapati tiada ayam segar yang kelihatan tidak disembelih secara sah sebagaimana dakwaan yang tersebar.

Justeru, KPDN Perak menafikan hantaran yang tular di media sosial yang mendakwa ayam segar di pasar raya berkenaan tidak disembelih secara sah dan mengikut syarak.

“Siasatan awal mendapati ayam segar yang didakwa tidak disembelih secara sah itu dibeli oleh individu yang menularkannya pada 24 Mac lalu berdasarkan tarikh yang tertera pada gambar tular.

“Pada tarikh berkenaan iaitu antara 24 hingga 26 Mac lalu, bekalan ayam segar di pasar raya berkenaan diperoleh daripada pembekal di Melaka.

“Pemeriksaan kita mendapati tiada penemuan seperti yang diberitahu (tular), mungkin sebab pemeriksaan dibuat lewat berbanding hari sebenar kejadian. Berdasarkan maklumat tular, ayam berkenaan dibeli pada 24 Mac tetapi baru semalam iaitu 28 Mac kita jalankan pemeriksaan.

“Pemeriksaan dijalankan lewat kerana aduan tidak dibuat secara rasmi pada hari kejadian, jadi pemeriksaan dijalankan hanya berdasarkan aduan yang ditularkan di media sosial hinggakan kita sendiri sukar dan tidak mampu untuk menghubungi pengadu terbabit kerana dia juga menggunakan akaun yang diprivasikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya lagi, susulan itu pihaknya sudah menghubung KPDN Melaka bagi tindakan lanjut termasuk bagi bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap rumah sembelihan ayam yang dimaksudkan.

“Kita juga sudah maklumkan hasil siasatan awal kita di pasar raya berkenaan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk tindakan mereka,” katanya.

Loading...
Terkini