comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat pakej umrah diarah bayar pampasan RM10,000

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)

TAWAU: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Sabah, hari ini membenarkan tuntutan pampasan (award) ganti rugi berjumlah RM10,000 oleh dua individu terhadap sebuah syarikat pengendali pakej umrah.

Presiden TTPM Sabah, Larina Wong Shiao Yee, membuat keputusan itu selepas pendengaran kes dikemukakan pihak yang menuntut (PYM), Kasmah Arifin, 55, dan Muliana Samin, 44, terhadap Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd.

Menerusi tuntutan yang dikemukakan, syarikat itu didakwa gagal membawa penuntut untuk mengerjakan ibadah umrah dan Badal Haji pada tarikh yang ditetapkan walaupun bayaran keseluruhan untuk pakej yang ditawarkan itu masing-masing sebanyak RM6,000 dan RM4,000 telah dijelaskan sepenuhnya oleh kedua-dua penuntut.

Berikutan itu, kedua-dua mangsa yang berasakan diperdaya syarikat berkenaan kemudiannya tampil memfailkan tuntutan kepada TTPM.

Pada sesi pendengaran hari ini, Larina mengarahkan syarikat Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd selaku pihak penentang (PP) kes, membayar pampasan masing-masing berjumlah RM6,000 kepada Kasmah manakala RM4,000 kepada Muliana.

Bayaran tuntutan dan wang pampasan itu perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari dari tarikh syarikat itu menerima ‘Borang 8’ iaitu award Borang Arahan bayaran balik selepas gagal hadir pada sesi pendengaran kes hari ini.

Sementara itu, dalam kes tuntutan berasingan hari ini, sebuah syarikat menjual kereta terpakai JR Automobile diarah membayar pampasan berjumlah RM18,305 kepada Muhammad Azrul Ilah, 37, selaku pihak penuntut selepas kereta Audi yang dibelinya didapati mempunyai banyak kerosakan.

Menerusi ‘award’ itu, Larina turut mengarah nama pemilik pada geran hendaklah ditukar milik kepada nama asal selain pihak penuntut dikehendaki memulangkan semula kereta itu kepada pihak penentang selepas bayaran dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh 14 hari dari tarikh award dikeluarkan.

 

Loading...
Terkini