Tumpuan :
Nasional

Syarikat operator nafi juruteknik terjatuh dari kereta kabel  

Anggota JBPM ketika melakukan operasi SAR mangsa terjatuh di Gunung Machincang semalam.- Foto: JBPM

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

LANGKAWI: Syarikat operator kereta kabel di Langkawi, Kedah menafikan laporan media yang mendakwa pekerja kereta kabel terjatuh daripada gondola sewaktu kerja penyelenggaraan semalam.

Syarikat itu turut menjelaskan juruteknik yang terjatuh dari besi penahan platform kaca pada ketinggian 40 meter di lereng Gunung Machincang semalam, adalah bukan pekerja atau kontraktor syarikat itu.

Pengoperasian perkhidmatan kereta kabel pada waktu kejadian berjalan seperti biasa dan tiada kerja penyelenggaraan dijadualkan pada waktu tersebut.

“Selain itu, ingin ditegaskan bahawa setiap kerja-kerja penyelenggaraan di Langkawi SkyCab mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Sebagai contoh, sekiranya kerja-kerja perlu dilakukan di tempat tinggi, kakitangan perlu mendapat latihan dan mempunyai sijil bekerja di tempat tinggi (working at heights) beserta dengan peralatan PPE yang lengkap.” kata Panorama Langkawi Sendirian Berhad (PLSB) dalam satu kenyataan.

PLSB berkata, pihaknya turut bersimpati dengan kejadian itu dan menawarkan kerjasama serta bantuan yang sewajarnya.

Semalam, seorang juruteknik yang juga kakitangan Eagle’s Nest SkyWalk maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 meter di lereng Gunung Machinchang di Langkawi dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari.

Khairul Nizam Jaafar, 41, dilaporkan terjatuh dari besi penahan dek kaca ketika melakukan kerja penyelenggaraan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini