Oleh: Syafiqah Damanhuri & Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Kerajaan berpendirian syarikat media sosial tidak boleh cuci tangan terhadap masalah buli siber.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan terdapat keperluan untuk mengubah mode pemantauan dalam pelbagai bahasa bagi membendung isu itu.
“Saya dapati dan meneliti maklumat Tiktok live mendiang Esha itu difahamkan berlaku pada jam 3, 4 pagi. Jadi memang mode pemantauan perlu berubah.
“Dalam perbincangan saya dengan Tiktok memaklumkan bahawa mereka ambil serius kejadian ini dan sangat terkesan.
“Untuk itu, Tiktok dengan segera menambah jumlah moderator yang akan meneliti termasuk kandungan dan sesi tiktok live dalam bahasa vernakular termasuk dalam bahasa tamil.
“Saya juga setuju, saya telah sebut Perdana Menteri juga Kabinet berpendirian bahawa platform ini tidak boleh cuci tangan.” Katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran di Dewan Rakyat.
Jelas Fahmi, banyak lagi masalah yang berlaku melibatkan platform media sosial termasuk iklan penipuan atau scam dan juga judi dalam talian.
“Jadi banyak lagi kita minta supaya platform ini segera betulkan saya lihat ada keperluan untuk ambil tindakan lebih tegas. Di pihak kabinet kita akan ambil tindakan lebih tegas.
“Saya nak minta bantuan bila Yang Berhormat bertemu kanak-kanak bawah 13 tahun pastikan mereka tidak membuka media sosial.
“Semua platform tidak membenarkan kanak-kanak usia 13 tahun membuka akaun media sosial. Malangnya platform ini culas buat pengesahan umur pemilik akaun dimaksudkan.” Ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa