SEOUL: Sedia dikenali sebagai peneraju dalam sektor peralatan rumah dan elektronik pengguna, LG Electronics kini berusaha mengembangkan kedudukannya.
Strategi LG mencakupi penggunaan teknologi AI berasaskan tema ‘Affectionate Intelligence,’ yang direka untuk menawarkan pengalaman unik dan disesuaikan kepada keperluan peribadi pelanggan.
Menurut Lea Lee, Ketua Tim Perhubungan Awam Global di LG Electronics, transformasi mega ini mencerminkan tumpuan LG yang semakin berkembang dalam pasaran B2B seperti HVAC (pemanasan, pengudaraan, dan penyaman udara), penyelesaian mobiliti, serta teknologi kilang pintar.
“Selepas memimpin industri ini selama kira-kira 70 tahun, kami kini beralih ke bidang baharu. Kami sedang mengalami transformasi untuk menjadi sebuah syarikat yang bertumpu kepada Solusi Kehidupan yang Pintar (Smart Life Solutions),” katanya kepada media semasa sesi lawatan ‘LG Global Media Tour 2024’ yang diadakan di ibu pejabat LG di Seoul baru-baru ini.
Lawatan media ini mengumpulkan lebih 30 wartawan dari seluruh Asia, selain Amerika Syarikat, Jepun, dan United Kingdom. Ianya menjadi platform bagi LG untuk mengetengahkan strategi dan teknologi perniagaannya yang sedang berkembang pesat, termasuk inovasi baharu yang melangkaui sekadar peralatan rumah.
Fokus utama LG dalam pengembangan B2B adalah melalui pembangunan tiga teknologi utama, iaitu sistem pengecasan EV, penyelesaian HVAC bagi industri, dan teknologi kilang pintar. Teknologi ini dijangka merevolusikan sektor pengeluaran dalam era industri yang didorong oleh AI.
Selain itu, LG juga menyasarkan sumber pendapatan baharu dalam bidang media dan hiburan. Melalui sistem operasi webOS, LG bercadang untuk memperluaskan pengaruhnya dalam media, hiburan, serta Software-Defined Vehicles (SDV), menawarkan pengalaman dalam kereta yang lebih bersifat peribadi dan dipertingkatkan penggunaannya melalui platform LG αWare.
Bergerak ke hadapan, LG mensasarkan untuk terus mempelopori inovasi dalam AI bagi menghasilkan peralatan, ruang mobiliti, dan peranti yang saling berhubung bagi meningkatkan kemudahan pengguna.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.