![](https://media.buletintv3.my/2024/03/BTV3-WORK-7.jpg)
Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Mana-mana syarikat diseru untuk melaksanakan inisiatif wakaf surau bergerak demi kebaikan masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan amat menggalakkan usaha itu supaya ia boleh digunakan khususnya di acara atau program yang tidak mempunyai kemudahan surau.
![](https://media.buletintv3.my/2024/03/qaUhoBGR-BTV3-WORK-6.jpg)
“Saya harap ada lagi syarikat-syarikat swasta, bukan saja syarikat pengangkutan, tetapi syarikat-syarikat lain yang boleh menyambung usaha untuk mewakafkan bas untuk dijadikan surau bergerak seperti ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Surau Bergerak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) 2.0 sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun penubuhan JAWI di pekarangan Masjid Putra, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.
Ditanya jumlah sasaran surau bergerak, Zahid berkata: “Ia (sasaran) bergantung kepada berapa banyak orang yang sudi untuk masuk syurga dengan jalan berwakaf,” selorohnya.
Surau bergerak JAWI 2.0 adalah hasil kerjasama syarikat Konsortium E-Mutiara Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd bagi melaksanakan pengubahsuaian sebuah bas dua tingkat, yang bukan sahaja boleh digunakan untuk menunaikan solat tetapi berfungsi sebagai sudut aktiviti keagamaan dan dakwah bergerak.
Bas dua tingkat bernilai RM350,000 itu disumbangkan oleh syarikat Konsortium E-Mutiara manakala kos pengubahsuaian disumbangkan oleh CIMB Islamic Bank dan individu melalui zakat wakalah berjumlah RM200,000.
Surau bergerak JAWI 2.0 mampu menampung kapasiti seramai 35 orang jemaah dalam satu-satu masa serta memiliki ruang solat dengan kemudahan seperti karpet, sejadah, telekung, pembesar suara, dan penyaman udara.
Bahagian penumpang bas berkenaan diubah suai menjadi ruang solat dan aktiviti yang selesa manakala tempat penyimpanan barang diubahsuai bagi penyimpanan bekalan air dan paip untuk mengambil wuduk.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.