comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat arak taja acara pendidikan: KPM ingatkan pentadbir patuhi garis panduan terima sumbangan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius dan sedang menyiasat lanjut berhubung isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras, baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, KPM mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan KPM untuk mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

“KPM mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat.

“Namun ini perlu dilaksanakan berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.

“Ia melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan, sebuah sekolah rendah di Sepang, Selangor menganjurkan Konsert Amal Pendidikan dengan pembabitan sebuah syarikat minuman keras yang hadir sebagai antara penyumbang.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menambah, KPM sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda.

“Pelbagai program kesedaran dan pendidikan pencegahan dianjurkan di sekolah bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini