comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarat layak mohon lesen B penuh: Tiada tunggakan saman dan bebas senarai hitam 

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli (kiri) memerhatikan seorang calon lesen B penuh, Afifi Anuar menjalani ujian di Akademi Memandu Shah Alam (M) Sdn Bhd, Sungai Merab Luar, Kajang, hari ini. – Foto NSTP

KAJANG: Tiga syarat utama ditetapkan bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B Penuh.

Syarat pertama ialah mereka terdiri daripada warganegara Malaysia manakala kedua, memiliki lesen memandu kompetan (CDL) Kelas B2/B1 yang sah dan berkuat kuasa secara berterusan.

Syarat ketiga adalah setiap pemohon dikehendaki bebas dari senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod disabitkan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pemegang LMM Kelas B2/ B1 yang layak, boleh membuat permohonan bagi mengikuti program khas berkenaan bermula hari ini.

Katanya, semakan kelayakan boleh dibuat di aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP awam (https://public.jpj.gov.my); atau kaunter JPJ.

“Sekiranya layak, pemohon boleh hadir ke mana-mana 180 institut memandu yang terpilih di seluruh Malaysia yang menawarkan program ini.

“Pemegang lesen hendaklah membuat pengesahan kendiri kesihatan tubuh badan, fizikal dan minda semasa pendaftaran di institut memandu,” katanya selepas meninjau sesi ujian program berkenaan di AMSA Bangi Driving Academy, di sini, hari ini.

Aedy berkata setakat ini, maklum balas orang awam untuk menyertai program berkenaan adalah tinggi.

Katanya, pada masa sama pihaknya sedang ambil tindakan untuk menaik taraf sistem aplikasi MyJPJ untuk memastikannya mudah menerima capaian akses yang tinggi.

“JPJ juga ingin memaklumkan kadar siling fi kepada institut memandu bagi program khas selama dua jam ini ialah RM160 berbanding mereka yang tidak menepati syarat dan diharuskan menjalani latihan selama 16 jam dengan kadar bayaran serendah RM800 untuk mendapatkan lesen B Penuh.

“Kadar fi ini merangkumi pendaftaran dan insurans pelajar, kursus peralihan dan penyesuaian (2 Jam), fi perkhidmatan (termasuk sewaan kenderaan dan litar) dan fi ujian JPJ.

“Program ini bertujuan untuk menaik taraf pemegang LMM Kelas B2/ B1 kepada Kelas B tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan tiada lagi permohonan baharu bagi mendapatkan LMM Kelas B1 di institusi memandu,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut berhubung program ini boleh layari www.jpj.gov.my.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini